Translate

Saturday, January 29, 2011

PERDANA MENTERI LAWAT SABAH

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini kelmarin bagi lawatan kerja selama dua hari.

Ketibaan beliau di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira 5.30 petang disambut oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, para Timbalan Ketua Menteri, anggota Kabinet dan ketua-ketua jabatan kerajaan persekutuan dan negeri serta pemimpin masyarakat.

Kira-kira 600 orang membanjiri Terminal Dua yang rata-ratanya dibarisi oleh ahli-ahli Umno dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain bagi menyambut kedatangan Perdana Menteri.

Najib kemudiannya menghadiri jamuan petang bersama ketua-ketua parti komponen BN Sabah di Sutera Harbour.

Dalam pada itu, Perdana Menteri merasmikan Taman Ujana Perdana Park di Hone Place, Tanjung Aru, dekat sini dan kemudiannya menghadiri Karnival Tahun Baru Cina 2011 di Lintasan Deasoka, di sini serta mengadakan tinjauan mesra di sekitar Jalan Gaya.

Najib berlepas ke Tawau pada jam 9.45 malam di mana beliau akan merasmikan Pusat Kajian Maliau Basin pada hari ini sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

Monday, January 17, 2011

SALLEH ANGKAT SUMPAH SPEAKER DUN SABAH

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-8 di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri pagi kelmarin.
Beliau yang juga mantan Ketua Menteri Sabah kesembilan mengambil alih tugas sebagai Speaker DUN, menggantikan Datuk Haji Juhar Mahiruddin yang telah dilantik sebagai Yang diPertua Negeri pada 1 Januari lalu.
Salleh menandatangani watikah pelantikan jawatan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Abdul Rahman Sebli, sambil disaksikan Juhar dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.
Dilahirkan pada 7 Julai 1957 di Kota Belud, Salleh memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Simon Fraser University of Kanada dan Ijazah Sarjana Politik dan Kerajaan daripada Universiti Putra Malaysia.
Sebelum ini, beliau merupakan Penasihat Sains kepada Ketua Menteri Sabah.

Saturday, January 15, 2011

CATATAN AWAL TAHUN BARU 2011

MASIH belum terlambat bagi saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakan dan kenalan yang melayari portal saya ini. Terima kasih kerana terus setia mengikuti kisah dan catatan saya di sini. Saya tahu ramai yang sentiasa mengikuti setiap tulisan saya, apatah lagi kini dunia ICT membolehkan kita semua melayari internet dari mana-mana saja.

Setelah menghabiskan percutian bersama keluarga penghujung tahun lepas, saya agak sibuk dengan beberapa urusan, termasuk mesyuarat, perjumpaan dan lawatan sama ada rasmi mahu pun tidak rasmi, atas berbagai kapasiti -- antaranya sebagai Penasihat Sains dan Teknologi Kepada Ketua Menteri, sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri dan sebagai Ketua Umno Bahagian Kota Belud, selain badan NGO seperti Usbo dan Kelab Golf dan Rekreasi Kota Belud.

Selain itu, saya juga beriadah dengan sukan golf dan badminton,di mana kedua-dua sukan tersebut saya jadikan kesempatan melayani para sahabat dan kawan-kawan.

Pada tahun 2011 ini, perkembangan yang berlaku di sekeliling kita mengubah keadaan. Di peringkat Pusat, saya telah dilantik sebagai Pengerusi Finas yang baru, berkuatkuasa mulai 1 Januari. Dan di peringkat negeri, kerajaan memberikan tanggungjawab sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah.

Kedua-dua jawatan ini saya terima dengan penuh tanggungjawab sebagai menghargai kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh kerajaan. Terus-terang saya katakan, bahawa saya tidak pernah terfikir atau mengharapkan jawatan sedemikian, jauh sekali melobi untuk mendapatkannya. Bagi saya, ia datang sebagai hadiah tahun baru buat saya dan keluarga, terutama isteri dan anak-anak yang menjadi sumber inspirasi saya.

Kepada Menteri Kebudayaan Kesenian dan Komunikasi, Datuk Seri Utama Rais Yatim, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas kepercayaan melantik saya ke jawatan sebagai Pengerusi Finas.

Mengenai pelantikan saya sebagai Speaker DUN Sabah pula, saya menghargai amanah dan kepercayaan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Lebih penting lagi, terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang telah merestui pelantikan saya ini.

Selepas pelantikan saya diumumkan oleh Ketua Menteri sejurus selesai mesyuarat Kabinet negeri pada hari Rabu lepas, ramai kawan-kawan media yang menghubungi saya untuk mengucapkan tahniah serta meminta ulasan dan komen saya.

Saya memberikan ulasan ringkas dan menghantar melalui SMS kepada mereka, yang berbunyi: "Saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri kerana melantik saya sebagai Speaker DUN Negeri Sabah. Saya akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin. Selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah juga, saya akan terus membantu YAB Datuk Seri Musa untuk memperkuatkan parti di Sabah."

Atas kapasiti sebagai Speaker DUN Sabah ini, saya melihatnya sebagai satu tanggungjawab legislatif yang cukup besar. Biarpun dalam DUN Sabah tidak ramai anggota pembangkang, namun itulah sebenarnya satu cabaran bagi memastikan amalan demokrasi terus subur kerana Dewan Yang Mulia itu bukannya gelanggang sarkas yang boleh kita buat sesuka hati biarpun kita memiliki kuasa majoriti.

Kepada rakan-rakan yang menghantar ucapan tahniah sama ada menerusi telefon, SMS atau facebook, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Barangkali ada sebahagian ucapan tersebut tidak sempat saya jawap, maka anggaplah catatan ini sebagai satu jawapan atas segala kiriman ucapan tersebut.

Kepada rakan-rakan seperjuangan dalam Umno, marilah kita terus melangkah ke hadapan, menjunjung panji-panji perjuangan di bawah pimpinan Presiden Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Pengerusi Perhubungan Negeri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman. Saya yakin dan percaya, jika kita terus bersatu dan bermuafakat, parti akan terus kukuh, kerajaan dan negara menjadi stabil, dan akhirnya rakyat menikmati kemakmuran. Insya-Allah.

Wednesday, January 12, 2011

SALLEH DILANTIK SPEAKER DUN SABAH YANG BARU

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said Keruak dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang baru.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah mengambil alih tugas selaku Speaker yang kelapan, menggantikan Datuk Juhar Mahiruddin yang telah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri mulai 1 Jan lalu.
Pengumuman mengenai pelantikan Salleh dibuat oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri di Wisma Innoprise di sini kelmarin.
Musa berkata Salleh akan memegang jawatan tersebut pada 17 Jan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diberitahu mengenai pelantikan itu.
Katanya, pelantikan Salleh dibuat berdasarkan pengalaman yang beliau miliki dan juga selaku Timbalan Badan Perhubungan Umno negeri Sabah.
Salleh yang juga Penasihat Sains dan Teknologi kepada Ketua Menteri Sabah dilahirkan pada 7 Julai 1957 di Kota Belud.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Politik daripada Simon Fraser University, Kanada dan ijazah Sarjana (Politik dan Kerajaan) daripada Universiti Putra Malaysia.
Salleh memulakan kariernya dalam perkhidmatan awam pada 1983 sebagai Pegawai Daerah Kota Belud dan dua tahun kemudian dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri.
Belau kemudian menjadi Ketua Menteri dari 27 Dis 1994 hingga 17 Mac 1996 di bawah sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri di kalangan tiga komuniti utama Sabah.
Beliau turut berkhidmat sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah pada 2003.
Salleh yang juga Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo) berkahwin dengan Datuk Hajah Raya Erom dan mempunyai empat orang anak.
Sementara itu, Salleh ketika dihubungi berterima kasih kepada Musa di atas pelantikannya sebagai Speaker.
"Saya akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin," katanya.
Beliau berkata selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, beliau akan terus membantu Musa untuk memperkuatkan Umno di Sabah.

Saturday, January 1, 2011

SALLEH DAN RAYA BERSAMA TYT SABAH YANG BARU

PENASIHAT Penasihat Sains dan Teknologi Kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Tun Said adalah antara pemimpin yang turut hadir menyaksikan majlis angkat sumpah jawatan Tuan Yang Dipertua Negeri Sabah yang ke-10 di Istana Negeri pagi keLmarin.
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang baru telah mengangkat sumpah ke jawatan tersebut di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum yang turut disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman dan beberapa pemimpin kerajaan negeri dan persekutuan.
Sejurus selepas Istiadat Lafaz Sumpah itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman memberi ucapan tahniah dan melafazkan ikrar taat setia kepada Juhar.
Kelihatam Salleh bersama isteri Datin Seri Panglima Raya Erom mengabadikan gambar kenangan bersama Juhar dan isteri Datin Seri Panglima Norlidah RM Jasni selepas majlis tersebut

JUHAR ANGKAT SUMPAH SEBAGAI YANG DIPERTUA NEGERI SABAH

KOTA KINABALU: Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin hari ini mengangkat sumpah sebagai
Yang Dipertua Negeri Sabah yang baru.
Beliau mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Ke-10 di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum pada upacara yang
berlangsung di Istana Negeri di sini.
Sejurus selepas Istiadat Lafaz Sumpah itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman memberi ucapan tahniah dan melafazkan ikrar taat setia kepada Juhar.
Juhar, 57, menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah yang tamat perkhidmatan sebagai Yang Dipertua Negeri semalam selepas dua penggal memegang jawatan itu.
Di bawah Perlembagaan Negeri, Yang Dipertua Negeri yang dilantik akan berkhidmat selama empat tahun bagi satu penggal.
Juhar dilahirkan pada 5 Nov, 1953 di Kampung Tambisan, Sandakan dan berkelulusan Sarjana Muda Undang-undang dari Wolverhampton Polytechnic, England.
Beliau memulakan kariernya dalam perkhidmatan awam sebagai majistret kelas pertama pada 1982, sebelum menjadi seorang setiausaha politik di Jabatan Ketua
Menteri empat tahun kemudian.
Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat semasa menjadi anggota Parlimen kawasan Kinabatangan antara 1990-1999, sebelum memegang jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri pada 2002.
Juhar telah mendirikan rumahtangga dengan Datin Seri Panglima Norlidah RM Jasni dan dikurniakan dua anak lelaki dan dua anak perempuan.