Translate

Wednesday, February 16, 2011

MANFAATKAN KEMAHIRAN MENJADI SUMBER PENDAPATAN

"TUAN Speaker naik Firefly?" satu suara menegur saya ketika saya menunggu penerbangan pulang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu baru-baru ini.

"Ya...bukan perjalanan rasmi, tapi urusan peribadi. Tambang sendiri," saya menjawab ringkas pertanyaan lelaki itu yang kemudian menghulur tangan dan bersalam dengan saya.

Lelaki itu juga dalam penerbangan balik ke Kota Kinabalu. Dia seorang warga Australia, tapi telah menetap di Sabah selama lebih 20 tahun dan telah berkahwin dengan orang Lahad Datu.

Sementara menunggu penerbangan, saya pun berbual-bual dengan lelaki itu. Bertanya tentang pengalamannya. Dan ternyata ceritanya sungguh menarik dan boleh dikongsikan bersama.

Menurut cerita lelaki itu, kerjanya hanya membaiki piano dan pendapatan dianggap `okay'. Dia menyediakan ruang di rumahnya sebagai bengkel membaiki piano. Dia mempunyai senarai klien. Selain membaiki kerosakan, dia juga melakukan `tuining' piano pelanggan-pelanggannya.

Kerja yang dilakukannya itu memerlukan kepakaran tersendiri. Bukan sembarangan orang boleh melakukannya. Ia kerja specialise. Justeru, dia turut melatih anak-anak tempatan dan ada antara mereka yang sudah pun boleh berdikari.

Saya merisik rahsianya bagaimana dengan hanya bekerja membaiki piano, dia boleh `survive' dan anak-anak pula belajar di luar negara dan ada yang telah mendapat ijazah. Sesekali pula membawa keluarga bercuti di negeri kelahirannya.

"Asal kita ada kemahiran, boleh hidup di mana-mana. Semua orang ada kemahiran tertentu dan mereka perlu mengilap kemahiran itu untuk menempuhi kehidupan," kata lelaki itu, yang menyifatkan negeri Sabah cukup bertuah, indah dan unik kerana kaya dengan khazanah alam yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat.

Menurut cerita lelaki itu, banyak peluang boleh diteroka di negeri ini oleh generasi muda tanpa perlu berhijrah jauh. Tapi sebahagian peluang itu tidak direbut dan tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Saya setuju dengan pendapatnya. Yang penting setiap orang memanfaatkan kemahiran yang dimiliki. Ada yang berkemahiran sebagai mekanik, sebagai tukang elektrik, tukang cat, tukang ukir dan sebagainya.

Kemahiran itu hendaklah dijadikan sebagai sumber pendapatan. Kerana dalam konteks masyarakat yang maju sekarang, semua orang perlukan perkhidmatan yang baik dan cepat.

Misalnya dalam majlis perkahwinan di kampung-kampung. Kini semakin jarang diadakan gotong royong membuat khemah. Ada yang mengambil jalan mudah menyewa khemah.

Khemahnya pula lebih canggih sekarang, warna putih dengan kipas angin sekali. Ada pembekal kemudahan ini dan ia merupakan satu bisnes yang boleh diterokai.

Demikian juga hidangan makanan kenduri perkahwinan di kampung-kampung, ramai orang tidak lagi menyembelih kerbau dan lembu, sebaliknya mendapatkannya menerusi perkhidmatan katering. Dan ini juga merupakan suatu bisnes yang terbentang luas untuk diterokai.

Sebenarnya setiap insan yang dilahirkan ada kemahiran tersendiri. Yang penting ialah bagaimana mengilap dan memanfaatkan kemahiran itu.

Kalau lelaki warga Australia itu boleh survive selama 20 tahun di negeri kita dengan hanya bekerja membaiki piano, kenapa anak-anak generasi muda kita tidak boleh berdikari di negeri sendiri sehingga sebahagiannya terpaksa pula berhijrah ke tempat lain mencari pekerjaan?