Translate

Wednesday, March 30, 2011

BERKONGSI KISAH KEHIDUPAN PENJAJA

Bergambar bersama ahli jawatankuasa PPBPBS selepas majlis perasmian mesyuarat agung persatuan itu.

BARU-BARU ini, saya telah merasmikan mesyuarat tahunan Persatuan Penjaja Bumiputera Pantai Barat Sabah (PPBPBS). Persatuan ini memang aktif sejak dulu. Ahlinya penjaja kecil-kecilan. Berasal dari berbagai pelosok daerah. Mereka terdiri daripada peniaga yang menjalankan berbagai jenis perniagaan, daripada berjualan buah-buahan hingga kepada pemasaran kraftangan. Semuanya produk tempatan.

Menariknya, persatuan ini dipimpin oleh seorang wanita. Presidennya, Puan Lipah Haji Mad, telah berjaya memimpin dan meletakkan asas kewangan persatuan dengan kukuh untuk faedah ahli-ahlinya. Kepimpinannya diterima, malah mendapat sokongan kuat ahlinya yang berjumlah hampir 600 orang.

Saya menerima jemputan mereka untuk merasmikan mesyuarat itu kerana kisah kehidupan penjaja sesuatu yang menarik untuk dikongsikan bersama. Walaupun mereka cuma penjaja dan peniaga kecil, tapi peranan mereka besar. Mereka adalah pembekal utama hasil produk kampung, misalnya buah-buahan seperti pisang, kelapa dan tembikai.

Tempat mereka berniaga menjadi tumpuan penduduk dan pelancong. Hasil perniagaan kecil mereka turut sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi. Mereka merupakan penggerak dan nadi penting kepada ekonomi.

Dalam ucapan saya pada hari itu, saya nyatakan kepada mereka bahawa mana-mana negara atau negeri yang saya lawati, saya pasti ke kawasan penjaja berniaga. Saya berasa seronok ke tempat-tempat seperti itu kerana di situ mencerminkan suasana masyarakat setempat.

Saya pernah membuat catatan mengenai pengamatan saya tentang kegigihan peniaga dan penjaja di Bukit Kayu Hitam, sempadan Malaysia-Thailand (ketika lawatan saya bersama Yayasan Kebajikan Suria), juga tentang kebijakan peniaga di China tawar-menawar menggunakan `calculator' memujuk pembeli (ketika lawatan saya bersama Kelab Golf dan Rekreasi Kota Belud) dan bagaimana peniaga wanita di Tanah Abang, Jakarta berbahasa menawarkan kain borong kepada pelancong (ketika lawatan saya bersama jawatankuasa Usbo).

Tempat atau kawasan penjaja berniaga mempunyai peranan penting. Kerana ia menjadi tumpuan pelancong meninjau barangan untuk dibeli, maka secara langsung ia memberikan imej negeri dan masyarakat kita. Persepsi orang luar terhadap masyarakat tempatan bermula di situ. Bagaimana sikap dan penampilan, layanan dan cara berkomunikasi kita, maka demikianlah gambaran orang luar terhadap kita.

Oleh yang demikian, saya berpesan kepada para penjaja yang hadir pada hari itu, supaya sentiasa berdedikasi dalam mencari rezeki. Selain bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga, para peniaga dan penjaja kecil hendaklah memberikan refleksi yang sebaik-baiknya.

Soal kebersihan, kesihatan dan keselesaan kepada pengunjung juga harus diberi keutamaan oleh para penjaja dan peniaga pada premis perniagaan masing-masing. Tempat yang bersih boleh menarik kedatangan pengunjung berulang.

Kepada persatuan itu, saya nyatakan kepada mereka betapa kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman, sentiasa bersikap prihatin terhadap kebajikan golongan peniaga dan penjaja kecil di negeri ini.

Justeru, yang penting bagi persatuan berpandangan jauh dan terbuka, melihat peluang dan potensi yang boleh diceburi bagi memajukan ekonomi keluarga. Satu daripada cadangan yang saya lontarkan hari itu ialah supaya dikaji kemungkinan melantik Majlis Penasihat bagi persatuan untuk memberi nasihat, idea dan input bagi memajukan lagi persatuan penjaja ke arah yang lebih cemerlang.

Majlis Penasihat tersebut boleh dianggotai oleh agensi berkaitan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga(Tekun) yang boleh menunjuk ajar, membimbing dan membantu golongan penjaja.

Apapun, sumbangan golongan peniaga dan penjaja kecil mempunyai signifikan besar kepada imej dan ekonomi negeri mahupun negara keseluruhannya.

Tuesday, March 29, 2011

TYT TERIMA KUNJUNGAN HORMAT SPEAKER


KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin berkenan menerima kunjungan hormat oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd. Salleh Tun Said bersama rombongan di Istana Negeri, dekat sini kelmarin.

Tujuan kunjungan adalah untuk memaklumkan kepada Juhar mengenai penundaan perasmian mesyuarat Dewan Undangan Negeri Penggal Pertama kali ke-13 yang sepatutnya diadakan pada 14 April kepada 21 April ini.

Tarikh baru sesi mesyuarat DUN ialah dari 25 hingga 28 April depan.

Turut hadir Timbalan–timbalan Speaker DUN, Datuk Frankie Chong dan Datuk Johnny Mositon. Kelihatan Salleh menyampaikan cendera kenangan kepada Juhar (tengah) sempena kunjungan itu, manakala gambar kedua gambar kenangan bersama TYT.

Monday, March 28, 2011

SALSIDU DILANTIK SETIAUSAHA AGUNG USBO

KOTA KINABALU: Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) hari ini menyusun semula jawatankuasa dengan melantik Salsidu Ibrahim sebagai Setiausaha Agung yang baru, berkuatkuasa serta merta.
Selain itu, Dr Liddy Sallun pula dilantik sebagai Ketua Penerangan dan Jemil Sidah sebagai Bendahari Agung.
Pelantikan dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Usbo yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Salleh Tun Said, di sini.
Mesyuarat itu yang pertama diadakan selepas mesyuarat agung minggu lepas.
Salleh berkata penyusunan semula dibuat dengan mengambil kira peranan Usbo sebagai badan bukan kerajaan (NGO).
"Pelantikan dibuat bagi memenuhi keperluan semasa dan supaya Usbo dapat bersama-sama menyumbang kepada proses pembangunan," katanya.
Menurutnya, mesyuarat itu turut menubuhkan 25 badan penyelaras kawasan bagi memperkasakan perjuangan.

Saturday, March 19, 2011

PERWAKILAN USBO SOKONG USUL SERTAI BN SEBAGAI ANGGOTA GABUNGAN

KOTA KINABALU: Perwakilan mesyuarat agung tahunan ke-21 Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu (Usbo) hari ini menyokong usul untuk menyertai Barisan Nasional (BN) secara rasmi sebagai anggota gabungan.

Tambahan peruntukan dalam perlembagaan badan bukan kerajaan (NGO) itu yang diluluskan dalam mesyuarat yang dirasmikan Presiden Usbo Datuk Seri Salleh Said Keruak, membolehkannya menjadi NGO pertama di negara ini secara rasmi berbuat demikian.


Mesyuarat yang dihadiri perwakilan dari 20 cawangan dari seluruh negeri turut mengekalkan Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, sebagai Presiden Usbo, bersama-sama tiga Timbalan Presiden, iaitu Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Datuk Amir Kahar Tun Mustapha dan Chandramata Sinteh.


Bagi jawatan Naib Presiden, tiga penyandang kekal iaitu Norzain Tawi, Mohamad Said Hinayat dan Abdul Rashid Alan, manakala seorang lagi adalah muka baru, iaitu Mohd Akhir Tikok.


Mesyuarat itu juga meluluskan penubuhan sayap Pemuda dan Wanita dalam Usbo.


Semua Anggota Majlis Tertinggi (MT) Usbo juga kekal termasuk tiga muka baru, iaitu Baharul Sawi (Kota Belud), Jamal Narubi (Papar) dan Mohd Maidin Haris (Beluran).


Sementara itu, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri berkata keputusan menyertai BN merupakan komitmen sokongan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat pusat dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman di peringkat negeri.


"Sebagai NGO yang menyokong dasar kerajaan BN, kita berharap penyertaan dalam gabungan ini dapat memberi sumbangan bermakna termasuk dalam merealisasikan konsep gagasan 1Malaysia yang menekankan aspek perpaduan nasional dan memelihara kepentingan rakyat," katanya




Tuesday, March 8, 2011

PRK KERDAU DAN MERLIMAU: WINNABLE CANDIDATES

SEPERTI dijangkakan, Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil (PRK) DUN Kerdau, Pahang dan Merlimau, Melaka, Ahad lepas.

Sebelum pun keputusan rasmi diumumkan pada malam tersebut, ramai sudah meramalkan tentang kemenangan itu. Cuma saja jumlah undi dan bilangan majoriti tidak dapat dipastikan.

Saya sendiri turut menerima beberapa Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada kawan-kawan sebelum keputusan rasmi diumumkan. Mereka memaklumkan BN mendahului parti lawan.

Malahan, sejak kempen bermula lagi, ramai menyatakan bahawa kemenangan diyakini berpihak epada BN atas beberapa faktor.

Paling utama kerana pemilihan calon BN yang berasaskan kepada prinsip `winnable candidates' yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, iaitu calon mestilah popular, berilmu, anak tempatan dan diterima oleh parti.

Kedua-dua calon BN, iaitu Roslan Ahmad di Merlimau dan Syed Ibrahim Syed Ahmad di Kerdau, yang memenuhi kriteria tersebut nyata berjaya membawa kemenangan bergaya kepada parti, memperolehi majoriti undi yang lebih besar dan menjadi isyarat betapa rakyat kini semakin teguh bersama BN.

Di Merlimau, BN mengekalkan kerusi tersebut melalui Roslan yang mengalahkan Yuhaizad Abdullah dari Pas dengan majoriti 3,643 undi. Roslan meraih 5,962 undi sementara Yuhaizad 2,319 undi.

Manakala di Kerdau pula, Syed Ibrahim mengalahkan Hasannudin Salim dari Pas dengan majoriti 2,724 undi. Syed Ibrahim, yang juga Naib Ketua UMNO bahagian Kuala Krau, memperoleh 5,060 undi manakala Hassanuddin, 2,336 undi.

Kemenangan kedua-dua mereka menyusuli kejayaan BN di DUN Tenang, Johor, Mohd Azahar Ibrahim, bekas ADO Rengit, yang lebih dikenali dengan nama Tok Ai di kalangan masyarakat setempat, yang diterima parti dan rakyat biarpun tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti.

Inilah pendekatan dan transformasi politik yang dibawa oleh Perdana Menteri.

Daripada analisa keputusan pilihan raya di dua kawasan tersebut, ia menunjukkan perkembangan positif dan menampakkan trend sokongan pengundi terhadap BN yang semakin meningkat dan bertambah kukuh.

Demikianlah juga pandangan Perdana Menteri, yang turut menyifatkan sokongan pengundi, termasuk dari pengundi bukan Melayu terhadap BN sebagai trend menggalakkan, justeru BN akan terus berusaha mengukuhkan lagi prestasinya dalam melaksanakan janji kepada rakyat.

"Semakin hari kita dapat buktikan, apa yang kita janjikan dapat kita laksanakan. Saya percaya tahap sokongan dapat kita tingkatkan lagi. Apa isu yang ditimbulkan parti pembangkang, tidak diterima oleh rakyat kerana rakyat lebih melihat kepada jaminan masa depan mereka.

"Mereka yakin BN dapat memenuhi harapan dan jangkaan mereka untuk kecapi kualiti kehidupan yang lebih baik," kata Perdana Menteri, sambil mengakui kemenangan itu adalah berdasarkan beberapa faktor, termasuk jentera pilihan raya BN yang mantap selain pemilihan calon yang betul.

Justeru, kata Perdana Menteri, kriteria "winnable candidate' atau `calon boleh menang' akan terus ditekankan oleh BN dalam menentukan calon-calon untuk pilihan raya.

Realitinya, kemenangan berganda BN di Kerdau dan Merlimau membuktikan parti pemerintah terus mendapat sokongan rakyat, termasuk kalangan pengundi Melayu selain kaum India dan Cina yang yang terus berdiri teguh di belakang pimpinan kerajaan, yang disatukan Perdana Menteri menerusi gagasan 1Malaysia.

Momentum kemenangan berterusan BN dalam siri pilihan raya kecil ini juga menunjukkan betapa pakatan pembangkang semakin goyah dan ditolak oleh rakyat. Bermula di Galas (Kelantan) dan Batu Sapi (Sabah), kemudian di Tenang (Johor) dan kini di Kerdau dan Merlimau.

Thursday, March 3, 2011

SALLEH SAMBUT TPM DI KOTA KINABALU

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Datin Hajah Noorainee Abdul Rahman selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Terminal 2, petang tadi.
Timbalan Perdana Menteri dan isteri serta rombongan tiba di Kota Kinabalu selepas merasmikan Program Juara Rakyat di Tongod, Sandakan.
Turut sama dalam rombongan beliau, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Peter Pang Eng Yin.
Ketibaan beliau di Terminal 2, LTAKK disambut Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Panglima Mohd. Salleh Tun Said, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin serta beberapa menteri kabinet negeri.
Sejurus selepas itu Tan Sri Muhyiddin dijadualkan akan menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran di Istana Negeri dan menghadiri Majlis
Perjumpaan Bersama Warga Pendidikan di Sekolah Menengah Datuk Peter Mojuntin, Penampang.
Kelihatan Salleh (kanan) bersalaman dengan Muhyiddin (kiri) sejurus tiba di LTAKK.