Translate

Friday, January 13, 2012

UMNO SABAH SEDIA HADAPI PILIHAN RAYA MENGEJUT

KOTA BELUD, 13 Jan (Bernama) -- Umno Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum walaupun jika diadakan secara mengejut, kata Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Beliau berkata Umno Sabah akan berhempas pulas memberi kemenangan bagi membolehkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperoleh mandat jelas dalam pilihan raya akan datang untuk terus mentadbir negara.
"Jentera peringkat bawah Umno Sabah sangat teguh. Jentera kami di bahagian bawah sudah bersedia mempertahankan Sabah, dan bersama-sama parti komponen lain menjadi benteng kepada Barisan Nasional," katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pilihan raya Umno Bahagian Kota Belud di sini hari ini.
Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, diminta mengulas laporan agensi berita AFP semalam yang memetik Najib sebagai berkata bahawa beliau berharap untuk mengadakan pilihan raya tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Najib juga dipetik dalam temu ramahnya dengan Dow Jones Newswires bahawa beliau tidak akan mengadakan pilihan raya umum sehinggalah dapat menunaikan janji yang dibuat baru-baru ini untuk memperkenalkan pembaharuan demokratik.
Selain parti-parti komponen terdiri Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Bersatu Pasokmomogun Kadazandusun Murut (Upko) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah, semuanya parti yang berasaskan kaum Dusun, dan Parti Liberal Demokratik berasaskan kaum Cina, BN Sabah juga mengandungi parti-parti berpangkalan di Semenanjung seperti Umno, MCA, MIC dan Gerakan.
Dalam pilihan raya 2008, BN Sabah memperoleh kemenangan di hampir kesemua 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi negeri, tewas hanya bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu dan kerusi negeri Sri Tanjung.

No comments: