Translate

Thursday, February 9, 2012

ELAKKAN BERI JAWAPAN "KIV" KEPADA MASALAH RAKYAT - SALLEH

BELURAN, 9 Feb (Bernama) -- Pegawai kerajaan perlu mengelakkan memberikan jawapan "KIV" (Keep In View) bagi masalah yang dikemukakan oleh rakyat, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Salleh Tun Said.

Sebaliknya, beliau berkata rakyat harus diberikan jawapan jelas supaya mereka memahami pendekatan yang diambil kerajaan melalui jabatan dan agensi kerajaan untuk menyelesaikan masalah itu.

Katanya jangan jadikan jawapan KIV yang bermaksud "untuk perhatian dan pertimbangan" itu merujuk bahawa masalah itu tidak diambil perhatian atau diselesaikan selama-lamanya.

"Barisan Nasional (BN) mengamalkan pendekatan untuk menyelesaikan masalah rakyat dengan sebaik mungkin dan ia juga perlu diamalkan pegawai kerajaan.

"Menyelesaikan masalah rakyat merupakan tanggungjawab semua melalui kerja berpasukan di antara pemimpin kerajaan dengan pegawai kerajaan," katanya ketika berucap merasmikan Dialog Telupid di sini hari ini.

Dialog anjuran Pejabat Parlimen Beluran itu mengumpulkan 37 pegawai kerajaan bagi menjawab masalah rakyat yang dikemukakan 26 ketua zon mewakili kampung di daerah Beluran.

Salleh, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, berkata selari dengan pendekatan kerajaan melaksanakan turun padang di kalangan pemimpin, pegawai kerajaan juga digalakkan mengamalkan konsep itu.

Katanya konsep itu adalah pendekatan terbaik dalam mendengar masalah rakyat dan ia dibuktikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui pendekatan tinjauan mesra untuk mendengar dan menyelesaikan masalah yang dikemukakan rakyat kepadanya.

No comments: