Translate

Wednesday, February 29, 2012

PENGAMATAN KETIKA BERJALAN, BAYANGAN MENGENAI RCI

Oleh SALLEH SAID KERUAK

BARU-BARU ini saya berpeluang jalan ke beberapa daerah di Sabah. Saya ke Keningau di pedalaman, ke Sipitang di pantai barat selatan, dan ke Tuaran di pantai barat utara. Itu antara tempat saya kunjungi. Saya juga ada ke pasar besar di ibu negeri, tempat yang dikatakan tumpuan ramai orang.

Saya berjalan sendiri, bukan berpengiring. Ramai yang kenal, lalu datang menyalami saya. Tapi ada juga yang tidak kenal. Maka dapatlah saya jalan dan mengamati suasana kehidupan masyarakat.

Sambil berjalan, ada sesuatu yang dapat saya perhatikan. Muka dan wajah orang kita sudah berubah. Loghat dan bahasa pertuturan mereka juga lain.

Kalau dahulu, Keningau itu terkenal sebagai daerah orang Kadazandusun/Murut, Sipitang tempat kelahiran orang Kedayan dan Lundayeh dan Tuaran terkenal tempat asal Dusun Lotud.

Tapi kini, dari bahasa pertuturan mereka dan penampilan wajah, kebanyakan mereka saya rasa bukan orang tempatan. Kita boleh kenal, dan mudah untuk membezakan. Kita boleh tahu asalnya apabila mereka bercakap. Baik anak-anak kecil yang berkeliaran, mahupun yang sudah remaja dewasa berjualan berbagai barangan.

Begitupun, ada sebahagian mereka ini boleh bercakap sepatah-dua perkataan bahasa tempatan seperti Dusun. Tetapi pelatnya masih boleh dibezakan dengan orang asli anak jati tempatan.

Saya sempat bertanya pada seorang daripada mereka apa yang dijualnya. Dia pantas menjawab "Bos, saya manjual campul-campul, ada sayul, ada buah...untung tidak berapa banyak. Sukup makan saja..." (bermaksud, saya menjual campur-campur, ada sayur, ada buah....untung tidak banyak, cukup makan saja).
Lalu saya tanya, dia orang apa. Dia pun menjawab "Saya orang Dusung bah" (bermaksud saya orang Dusun).

Di pasar besar Kota Kinabalu pun begitu kisahnya. Ramai kanak-kanak dan remaja, tanpa segan, berkeliaran menjual plastik dan menawarkan khidmat mengangkat barang yang kita beli untuk dihantar ke kereta.

Dari raut wajah mereka, kita dapat mengenal pasti mereka bukan orang asal anak jati Sabah. Tapi tidak diketahui pula, apakah mereka mempunyai dokumen pengenalan diri sebagai orang tempatan?

Saya pun teringat, ketika menghadiri satu majlis anugerah cemerlang di daerah kelahiran saya, Kota Belud, tidak lama dulu. Salah seorang pelajar yang menerima anugerah pada majlis itu, namanya begitu asing.

Dari pengamatan, pengalaman dan cerita ini, saya pun terfikir. Barangkali itulah sebab kenapa akhir-akhir ini begitu kuat kedengaran suara dan desakan mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah.

Ramai meminta supaya ditubuhkan RCI secepat mungkin bagi menangani masalah ini, yang sudah berpanjangan sekian tahun.

Parti-parti politik termasuk dalam kalangan komponen Barisan Nasional sendiri turut senada. Bagi mereka, sudah tiba masanya suatu penyelesaian berkekalan dicari.

Biarpun berlainan ideologi dan fahaman politik, rata-rata mahukan kerajaan mencari pendekatan terbaik untuk kebaikan jangka panjang.

Seperti dijelaskan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, baru-baru ini bahawa Kerajaan Persekutuan telah membuat keputusan tentang cadangan penubuhan RCI mengenai pendatang asing tanpa izin itu.

Dan Kabinet Persekutuan telah menyerahkan mandat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mengilhamkan gagasan 1Malaysia, untuk mengumumkan perkara itu.

"Ini adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu oleh rakyat Sabah selama ini. Saya telah membangkitkan isu RCI pada mesyuarat Kabinet sekurang-kurangnya tiga kali sebelum ini, tetapi ia tergantung tanpa sebarang keputusan.

"Saya membangkitkan lagi isu ini pada mesyuarat Kabinet terakhir (8 Feb) dan Kabinet kemudiannya telah membuat keputusan...Perdana Menteri akan menangani seterusnya," kata Dompok, tanpa mengulas lanjut.

Sebelum itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, juga memberikan bayangan yang sama bahawa Kabinet telah membincangkan perincian mengenai cadangan RCI itu.

Ongkili yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah turut menjelaskan bahawa semua pemimpin parti komponen BN Sabah mahu isu tersebut diselesaikan.

"Kami mahu RCI yang bukan sekadar menghasilkan keputusan terbuka, tetapi lebih daripada itu dalam menangani isu pendatang tanpa izin ini. Bagaimana ini berlaku, siapa yang terlibat dan apakah tindakan ke atas mereka yang terlibat. Ini RCI yang tipikal...selalunya dengan keputusan terbuka," katanya.

No comments: