Translate

Saturday, May 12, 2012

GELOMBANG MERAH SEMANGAT WAJA

Oleh
SALLEH SAID KERUAK




MALAM Jumaat lepas (11 Mei) saya telah menyertai ratusan ribu ahli Umno lain, meraikan perhimpunan ulang tahun ke-66 Umno di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Saya sengaja datang awal ke situ kerana khuatir terperangkap dalam kesesakan. Memang benar sekali. Jalan begitu sesak. Seawal jam 6 petang lagi, suasana amat meriah sudah dapat dirasai. Di dalam dan luar stadium, warna merah menyala. Membakar semangat para ahli parti, menjulang panji-panji perjuangan.

Saya melihat semangat ahli-ahli Umno begitu tinggi dan berkobar-kobar. Ini dapat dilihat ketika bendera parti dinaikkan, ketika lagu "Sang Saka Bangsa" dinyanyikan, dan ketika bendera Umno dikibarkan.

Dengan berbaju merah, ahli-ahli Umno menyahut setiap inti ucapan pemimpin dengan laungan kesiapsiagaan.
Dianggarkan lebih 120,000 ahli Umno dari seluruh negara menyertai perhimpunan itu, yang dianggap paling bersejarah.

Kehadiran itu nyata menyemarakkan bara perjuangan pimpinan atasan. Ia dapat dibaca ketika YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mendahului ucapan, disusuli amanat oleh YAB Dato Seri Najib Tun Razak, yang berucap berapi-api.

Daripada reaksi ahli-ahli yang saya temui kemudian, nyata ucapan Pemimpin Nombor Satu dan timbalannya itu membakar semangat para ahli untuk menghadapi cabaran menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) yang akan datang.

Mereka meyakini ia menjadi pencetus semangat untuk berjuang habis-habisan, demi survival parti dan jaminan masa depan generasi akan datang.

Saya yakin ahli-ahli parti yang hadir di perhimpunan itu pulang ke tempat masing-masing dengan suntikan semangat waja. Semangat untuk meneruskan kesinambungan perjuangan, mendepani cabaran-cabaran politik menjelang perang pilihan raya.

Dari reaksi ahli akar-umbi yang hadir juga menunjukkan mereka sudah bersedia masuk gelanggang pilihan raya. Dan daripada sambutan pada perhimpunan itu, saya amat optimis bahawa BN tidak ada masalah untuk mencapai kejayaan dalam PRU-13, sekali gus mengekalkan pemerintahan.

Saya katakan demikian kerana tujuh sebab yang digariskan oleh Presiden parti, bakal menjadi pertimbangan dan perbandingan rakyat apabila membuat pilihan nanti.

Tujuh sebab, yang seiring dengan tempoh kematangan Umno menghampiri tujuh dasawarsa, membuka mata rakyat untuk melihat jauhnya jurang antara Barisan yang memerintah, dan pakatan yang sekadar membangkang.

Persoalan bertubi-tubi "Siapa" yang diajukan oleh Perdana Menteri dalam ucapan penuh perkasa itu dijawap spontan oleh ahli-ahli yang membanjiri Stadium Bukit Jalil.

Melihat reaksi itulah, hati kecil saya berbisik betapa BN jauh mendahului lawan dari segi "track record" pemerintahan dan keupayaan.

Tujuh sebab dan persoalan yang diutarakan Perdana Menteri ialah:-
1. Antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, mana satu kepimpinan yang boleh dipercayai dan janjinya ditepati. Siapa sudah bagi BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), Baucar Buku 1Malaysia kepada mana-mana sekolah, siapa sudah beri (bonus atau durian runtuh) kepada peneroka Felda. Siapa sudah buat Klinik Rakyat 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, jalan luar bandar dan dalam bandar, siapa sudah buat sekolah. Siapa sudah buat segala-galanya...bukankah BN.
2. Yang kedua, kalau tentu (parti itu) nak dipilih, tentukan kita pilih hari esok lebih baik dari hari ini. Siapa yang boleh beritahu ini?
3. Siapa boleh pelihara kedaulatan undang-undang, kesucian Islam, keluhuran Perlembagaan, institusi raja-raja serta hak-hak kaum lain.
4. Siapa boleh uruskan ekonomi kita yang sangat baik ini serta membawa pertumbuhan yang memberangsangkan?
5. Siapa yang boleh menjamin keharmonian dan perpaduan (kaum) berkekalan?
6. Siapa yang boleh membuat pembaharuan secara tersusun. Siapa yang membawa transformasi kepada negara ini?
7. Siapa yang boleh tentukan kemakmuran negara sehingga hari ini dengan izin Allah boleh menjadi negara yang berpendapatan tinggi?

Saya juga tertarik dengan inti ucapan YB Tan Sri Muhyiddin bahawa PRU-13 merupakan medan penentuan terhadap kelangsungan perjuangan Umno, untuk terus menunjangi agenda perjuangan membela nasib rakyat.

Ucapan tersebut harus dijadikan iktibar oleh ahli Umno bahawa perjuangan parti bukan sekadar untuk mempertahankan kuasa politik semata-mata, tetapi sebenarnya lebih jauh dari itu, bagi memastikan parti terus menjadi benteng dan pembela rakyat.

"PRU-13 adalah ibu segala pilihanraya yang akan menentukan kelangsungan perjuangan Umno. Ingatlah, yang kita pertaruhkan bukanlah sekadar kuasa politik, tetapi seluruh isi perjuangan dan nasib sebuah bangsa," demikian ucapan beliau, disambut sorakan bergemuruh hadirin yang memenuhi stadium.

Sambutan ulangtahun ke-66 Umno kini sedang berlangsung dengan berbagai pengisian. Perhimpunan malam itu nyata menyuntik semangat juang yang tinggi. Ahli-ahli parti nampaknya tidak lagi sabar menantikan tiupan wisel untuk masuk gelanggang pilihan raya.