Translate

Monday, May 28, 2012

SALLEH: JANGAN POLITIKKAN DOKUMEN 20 PERKARA


KOTA BELUD, 28 Mei (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata penjelasan sebenar berhubung dokumen 20 Perkara bagi melindungi Sabah berikutan pembentukan Malaysia perlu dibuat bagi mengelak parti pembangkang memperalatkannya untuk kepentingan politik.
    Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah itu berkata Barisan Nasional (BN) terus memperjuangkan asas-asas dalam dokumen itu tetapi hakikatnya ialah 20 Perkara itu hanya memorandum dan bukan perjanjian yang ditandatangani.
    "Ada di antara perkara tersebut yang telah dimasukkan ke dalam dokumen perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Negara.
    "Hak rakyat Sabah dan negeri Sabah pasti terbela oleh Barisan Nasional dan pada pandangan saya, kita hormati pandangan masing-masing dan saya sendiri tidak pernah menyentuh soal "kesahihan" dokumen 20 Perkara kerana ia bukan perjanjian cuma memorandum," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
    Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata kandungan dan semangat dokumen 20 Perkara bagi melindungi Sabah berikutan pembentukan Malaysia sah dan relevan hingga bila-bila kerana ia termaktub dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan.
    Anggota Parlimen Kota Marudu itu berkata 20 Perkara yang dimuatkan dalam satu memorandum oleh tujuh parti politik pada 1962 dan dikemukakan kepada IGC itu, bukan dokumen rasmi kerajaan, tetapi semata-mata satu memorandum politik.
        Bagaimanapun, apa yang rasmi mengenainya ialah perbincangan dan penerimaan perkara berkenaan oleh IGC dan akhirnya penerapannya ke dalam Perjanjian Malaysia serta Perlembagaan Persekutuan, kata Ongkili.
    Salleh yang bersetuju dengan pandangan itu berkata beliau turut menyatakan perkara yang sama ketika merasmikan Bengkel Cyber Troopers Pemuda BN Sabah di sini pada Jumaat tanpa menyentuh kesahihan dokumen 20 Perkara.
    "Saya telah mengingatkan anak-anak muda agar tidak mudah terpengaruh dengan pembangkang yang sering membangkitkan isu perkara 20 bagi meraih sokongan rakyat," katanya.
    Salleh turut menegaskan bahawa kerajaan BN benar-benar berjuang untuk membela nasib rakyat Sabah.