Translate

Thursday, June 21, 2012

Ketua-Ketua Agensi Persekutuan Sabah Disaran Jalin Hubungan Erat Dengan Media

Y.Bhg. Dato Khazali Haji Ahmad.
KOTA KINABALU, 21 Jun (Bernama) -- Ketua-ketua agensi persekutuan di Sabah disaran agar sentiasa menjalin hubungan yang erat dengan pengamal media bagi membolehkan segala program dan projek pembangunan kerajaan diketahui secara khusus oleh golongan sasar.

Setiausaha Persekutuan Sabah Dato Khazali Ahmad berkata melalui 'engagement' berterusan, pihak yang berkaitan dan pelanggan mereka akan secara langsung boleh mendapat maklum balas mengenai pelaksanaan sesuatu program atau polisi kerajaan.

"Di sinilah, peranan pengamal media kita perlukan. Melalui laporan dan maklum balas rakyat, kita dapat menilai dan meneliti kekuatan dan kelemahan pelaksanaan agenda pembangunan negara," katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama media dan majlis perpisahan untuk beliau di sini Rabu malam.

Beliau berkata di samping itu media juga merupakan medium utama untuk pihak kerajaan mendapat maklum balas langsung daripada rakyat selain publisiti untuk mempromosi agensi-agensi kerajaan persekutuan dalam projek dan program pembangunan.

Khazali, 56, telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang baru mulai esok bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf yang menamatkan perkhidmatan.

-- BERNAMA