Translate

Saturday, June 23, 2012

PEMIMPIN BN MESTI KOMITED DALAM PERJUANGAN BUKAN HANYA BERPIJAK SEBELAH KAKI, KATA SALLEH

DS Salleh Said Keruak.
KOTA BELUD, 23 Jun (Bernama) -- Pemimpin Barisan Nasional (BN) seharusnya komited sepenuhnya dalam perjuangan dan 'tidak hanya berpijak sebelah kaki' dalam parti, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Beliau berkata ini penting bagi membantu menjayakan agenda pembangunan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memerlukan sokongan tidak berbelah bahagi daripada pemimpin serta rakyat.

"Dalam pilihan raya yang ke-13 akan datang, rakyat dan pemimpin harus menyokong kerajaan BN pimpinan Najib. "Kita tidak mahu wujud keadaan apabila pemimpin hanya sebelah kaki dalam BN... pemimpin mesti komited untuk memperjuangkan nasib rakyat," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Juara Rakyat sempena bulan wanita dan keluarga anjuran Wanita Umno Kota Belud di sini hari ini.

Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, berkata sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada tahun 2009, Najib telah meletakkan hal tuju yang jelas dalam membawa negara ini ke era kecemerlangan. Beliau berkata Najib terbukti seorang pemimpin yang mampu membawa kesejahteraan masyarakat termasuk menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bernilai RM500, bantuan khas awal persekolahan RM100 dan Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM200.

"Kita juga mahu selamatkan Sabah daripada mereka yang mahu membawa kemunduran kepada negeri ini," katanya.

Ketua Umno bahagian Kota Belud itu berkata Wanita Umno bahagian berkenaan siap sedia untuk mempertahankan kubu BN di Kota Belud. Beliau turut meminta penduduk Kota Belud supaya memberi sokongan padu kepada BN pada pilihan raya umum akan datang bagi memastikan masa depan yang lebih baik dan terjamin.

BERITA BERKAITAN (Klik tajuk berita)
-Musa Aman Ajak Pemimpin BN Sabah Bersatu Untuk Hadapi PRU-13