Translate

Friday, June 29, 2012

RAKYAT MALAYSIA MAHU NAJIB TERUSKAN TUGAS SEBAGAI PM - SALLEH

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.
 KOTA BELUD, 29 Jun (Bernama) -- Rakyat Malaysia mahu Datuk Seri Najib Tun Razak meneruskan tugas sebagai perdana menteri dan beliau perlu diberi mandat yang lebih kukuh dalam pilihan raya umum ke-13, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Beliau berkata Najib, yang banyak membawa transformasi dan perubahan kepada negara serta rakyat, telahpun membuktikan bahawa beliau berjaya menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat.

"Perdana menteri kita faham tentang ekonomi dan bersedia untuk membuat keputusan yang sukar demi manfaat rakyat dan negara. Beliau menangani isu yang mendepani semua lapisan masyarakat.

"Politik beliau adalah ekonomi. Sebab itulah, kita perlukan beliau untuk meneruskan tugas sebagai perdana menteri dan memberi beliau mandat yang kukuh pada pilihan raya akan datang," katanya.

Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, berkata demikian ketika berucap dalam pertemuan dengan pemimpin wanita peringkat akar umbi Kota Belud di sini hari ini.