Translate

Monday, June 25, 2012

Usah perjuang kepentingan kaum sendiri: Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,

KUALA LUMPUR: Rakyat diingatkan tidak hanya memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing saja, sebaliknya sentiasa memikirkan manfaat semua kaum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata konsep sama dilaksanakan Barisan Nasional (BN) menerusi konteks keadilan sosial yang bermaksud agihan sama rata merentasi semua etnik dalam merangka dan membuat keputusan berkaitan sesuatu dasar.Sehubungan itu, kerajaan akan sentiasa berhubung dengan rakyat pelbagai lapisan masyarakat supaya mereka faham bahawa bantuan yang disalurkan dibuat tanpa mengira kaum.“Jika melihat sesuatu mengikut perspektif zero sum, bermakna kita tidak dapat tentukan antara rakyat yang memerlukan dan mereka yang layak untuk dibantu, sebab itu apa juga pertolongan disalurkan kerajaan tidak dilihat sebagai zero sum.

“Contohnya, apabila kita katakan nak kurangkan kadar kemiskinan, ia membabitkan semua kaum sebab Melayu juga ada yang miskin, begitu juga India, Iban, Kadazan dan Orang Asli,” katanya pada Majlis Dialog Belia Cina Bersama Perdana Menteri, di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaya di sini, semalam.

Lapan pertubuhan belia Cina yang menganjurkan majlis itu menganugerahkan gelaran Arkitek Transformasi Negara kepada Perdana Menteri. Turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong dan pemimpin pertubuhan belia Cina serta mahasiswa institusi pengajian tinggi tempatan (IPT).

Perdana Menteri berkata, beliau boleh penuhi permintaan rakyat jika mahu menjadi popular tetapi ia bukan langkah terbaik kerana yang penting adalah memberi mengikut kemampuan. “Saya nak uruskan bajet dan ekonomi untuk jangka masa panjang, oleh itu, ada yang boleh dan tidak boleh dilakukan kerana semuanya ada had,” katanya.

Beliau juga menegaskan Malaysia adalah satu-satunya negara di rantau ini yang membenarkan pendidikan Cina selain China, sedangkan Thailand, Indonesia dan Singapura tidak berbuat demikian.

Menjawab soalan pada sesi dialog, Perdana Menteri berkata, komuniti Cina tidak seharusnya tersinggung jika ada komen pihak tertentu yang menganggap mereka sebagai pendatang.

“Dalam masyarakat pasti akan ada yang tidak bertanggungjawab dan ada yang kepala tidak betul. Jadi jangan terasa hati kerana yang penting pemimpin negara tidak menganggap masyarakat Cina sebagai pendatang,” katanya.

Beliau juga berkata, sokongan kepada MCA adalah antara usaha untuk menjamin suara kaum Cina didengar, sekali gus dapat menangani sebarang isu berkaitan komuniti itu.-2012/06/25 (BERITA HARIAN)