![]() |
| DS Musa Aman |
4th July, 2012
KOTA KINABALU: Para guru agama di
negeri ini digesa bersikap lebih proaktif, efisien dan melengkapkan
diri dengan pelbagai disiplin ilmu dan kemahiran, kata Ketua Menteri
Sabah, Datuk Seri Musa Hj. Aman. Katanya, hanya guru versatile dan berilmu sahaja yang akan dapat
menghasilkan generasi pelajar berkualiti dan cemerlang, seterusnya
memberi sumbangan bermakna kepada agama, bangsa dan negara.
“Tanggungjawab guru bukan sahaja terhad kepada penguasaan ilmu dan
kemahiran, tetapi turut menekankan aspek nilai moral, etika serta jati
diri yang mampu menjana modal insan secara menyeluruh,” katanya dalam
teks ucapan sempena Perasmian Majlis Hari Guru Peringkat Negeri
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) Tahun
1433H/2012M, di Wisma Muis, di sini, kelmarin.
Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri,
Datuk Sri Nasir Tun Sakaran yang juga selaku Menteri yang
bertangungjawab mengenai hal ehwal agama Islam negeri Sabah. Musa berkata, oleh itu guru-guru perlu meningkatkan tahap keilmuan
di samping memperbaiki pencapaian aka- demik seterusnya melaksanakan
agenda penting negara iaitu membangunkan sistem pendidikan yang
berkualiti dan bertaraf dunia.
Sebagai seorang pendidik, katanya, tangungjawab yang besar dan
semakin mencabar harus dipikul di dalam mengasuh dan mendidik serta
melengkapkan diri para pelajar dalam semua bidang ilmu. Situasi ini memberi isyarat jelas bahawa guru pada masa kini bukan
sahaja berperanan mendidik pelajar dari segi teori tetapi juga dari
segi praktikal, katanya.
Justeru, katanya, para pelajar perlu dibimbing dan diasuh
berlandaskan matlamat pembangunan negara yang perlu diselarikan dengan
kemajuan kerohanian. Ini bererti penghayatan nilai-nilai murni wajar diterapkan dalam membangunkan modal insan yang berkualiti dan sempurna,katanya. Katanya, guru juga perlu mempelbagaikan kaedah dan kreativiti di
bilik darjah bagi melahirkan pelajar yang berpendidikan, berkemahiran,
berilmu, bertakwa dan berakhlak mulia sekaligus meningkatkan lagi
mutu pendidikan khususnya dalam bidang keagamaan.
“Selain guru, ibu bapa juga perlu bersama-sama memikul
tangungjawab ini dengan mendidik dan membentuk sahsiah dan keperibadian
yang mulia dalam kalangan anak-anak,” katanya. Ini penting kerana institusi kekeluargaan merupakan jalan terbaik
dan berkesan bagi membantu kejayaan para pelajar sekaligus mengelakkan
mereka terjebak dalam aktiviti yang tidak bermanfaat, katanya.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama
Islam Sabah, Datuk Amri A. Suratman, Ketua Penolong Pengarah Bahagian
Pendidikan Jheains, merangkap pengerusi sambutan hari guru Jheains Tahun
2012, Saifuddin Daud.
-New Sabah Times
-New Sabah Times

No comments:
Post a Comment