Translate

Tuesday, July 10, 2012

Penjawat Awam Perlu Lebih Kreatif Dan Inovatif – PM

Datuk Seri Najib Tun Razak
PUTRAJAYA: Penjawat awam perlu menampilkan pelaksanaan tugas yang lebih kreatif dan inovatif bagi menyahut cabaran untuk memenuhi jangkaan rakyat yang semakin bertambah kompleks, pelbagai dan sentiasa berubah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perkhidmatan awam merupakan tonggak kepada usaha memastikan dasar negara dilaksanakan, demi mencapai matlamat kerajaan untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Beliau berkata persekitaran hari ini jauh lebih berbeza berbanding satu ketika dahulu, yang menuntut kerjasama dan komitmen padu serta jitu daripada segenap lapisan pentadbiran.

“Kita berdepan dengan rakyat Malaysia yang mempunyai jangkaan dan harapan yang tidak macam dahulu dan perubahan ini disebabkan kejayaan kita menyediakan peluang pendidikan yang semakin tinggi, akses kepada pendidikan yang cukup luas. Pendedahan maklumat kini mungkin sudah terlalu banyak,” katanya semasa berucap pada majlis Dialog Perdana Perkhidmatan Awam di sini, Isnin.

Najib berkata sebagai pendukung sebuah pentadbiran, penjawat tidak ada pilihan selain daripada memacu kemampuan untuk menghasilkan sistem penyampaian yang lebih berkesan, pantas dan efektif.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata Malaysia boleh berbangga kerana semasa persekitaran ekonomi negara Eurozone dan United Kingdom berada dalam keadaan tidak menentu, keadaannya tidak begitu ketara di Malaysia ketika ini.

“Mana tidaknya, mana-mana kami pergi, saya dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pergi, semua minta tambahan peruntukan,” katanya dan menambah sektor pembinaan pula terus menyerlah tanpa menunjukkan tanda-tanda pertumbuhannya terjejas.

“Tapi kita juga perlu realistik, misalnya kita perlu pelaburan luar negara, kalau dunia menjurus ke arah krisis ekonomi, sudah tentu saluran bagi pelaburan baru akan berkurangan,” katanya.

Najib berkata walaupun sudah menempa banyak kejayaan, namun perjalanan Malaysia masih jauh dan beliau percaya masih ada ruang untuk penjawat awam terus melakukan penambahbaikan, dan menurutnya perubahan itu perlu merupakan satu ‘lonjakan berganda’.

Katanya sebab itu, beliau sering menggesa dan mencabar semua, termasuk dirinya sendiri, untuk memikirkan idea yang lebih kreatif dan inovatif yang boleh ditampilkan untuk membawa penambahbaikan sebenar, dan tidak boleh menjalankan tugas seperti kebiasaannya.

Najib berkata harapan dan jangkaan rakyat kini berubah dan pelbagai, apabila masyarakat di seluruh negara rata-rata berubah mengikut arus urbanisasi, yang membawa lebih banyak cabaran kepada sistem penyampaian, di samping menuntut penyesuaian dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab penjawat awam.

Menurutnya jika suatu ketika dahulu apa yang dipentingkan adalah keperluan asas seperti jalan raya, bekalan air dan eletrik, kini tuntutannya lebih pelbagai seperti usaha cegah jenayah, kebebasan dan layanan perkhidmatan.

Beliau berkata sebagai kerajaan, pentadbirannya tidak boleh menawarkan sesuatu yang retorik, tetapi perlu memberi bantuan yang jelas dan nyata yang sampai terus kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia dan banyak lagi.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga tidak boleh berbelanja sewenang-wenangnya kerana perlu bersandarkan kepada perbelanjaan yang berhemah.

“Kalau nak tambah perbelanjaan sekalipun, kita kena ‘wujudkan kekayaan’ kena cari sumber baru,” katanya.

Lebih 500 penjawat awam dari seluruh negara hadir pada majlis dialog anjuran Razak School of Government, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perdana Menteri itu, yang diagendakan khusus sebagai platform utama untuk memastikan perkhidmatan awam Malaysia menjadi teras, tunjang dan tonggak hadapan dalam proses anjakan transformasi yang pesat ketika ini.

Majlis turut dihadiri Muhyiddin dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

No comments: