![]() |
| Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak |
Selasa Julai 3, 2012- KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
pada Selasa mengumumkan pembentukan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai
RM1 bilion.
Dana itu bertujuan meningkatkan penyertaan syarikat milik
Malaysia dalam rangkaian bekalan global, dalam industri sasaran iaitu bernilai
tinggi tambahan, berintensifkan pengetahuan dan industri berasaskan inovasi.
Beliau berkata, dana itu akan diurus oleh Lembaga
Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan akan diluluskan pada asas rundingan,
berdasarkan permintaan syarikat dan merit setiap kes, dengan objektif untuk
meningkatkan keupayaan teknologi pelabur domestik.
Katanya, dana itu bermatlamat meningkatkan dan memanfaatkan
peluang-peluang penyumberan luar yang diwujudkan oleh syarikat multinasional
yang beroperasi di Malaysia, meningkatkan penguasaan teknologi oleh syarikat
milik Malaysia dan membolehkan syarikat brekenaan memperoleh
standard/pensijilan antarabangsa dalam industri strategik.
Perdana Menteri juga berkata kerajaan memperkenal semula
insentif cukai untuk mengambil alih syarikat asing berteknologi tinggi bagi
membolehkan syarikat milik Malaysia memperoleh teknologi canggih menerusi
pendekatan lonjakan bagi meningkatkan rangkaian nilai atau mempelbagai ke dalam
bidang baru.
"Inisiatif ini akan memudahkan aktiviti inovasi dalam
kalangan syarikat milik Malaysia," kata Najib pada perasmian ibu pejabat
korporat baharu Mida dan pelancaran logo baru.
Najib berkata, syarikat pembuatan milik Malaysia yang sudah
beroperasi selama setahun atau kurang dan menjalankan promosi produk atau
aktiviti menerusi Akta Promosi Pelaburan 1986,, layak memohon insentif cukai itu.
Kerajaan juga meningkatkan insentif cukai untuk syarikat
kecil milik Malaysia supaya memohon insentif cukai menerusi akta berkenaan
dengan meningkatkan dana pemegangan daripada RM500,000 kepada kurang daripada
RM2.5 juta.
"Kadar khas cukai itu untuk menggalakkan penyedia kecil
perkhidmatan Malaysia supaya bergabung menjadi entiti yang lebih besar, dan
usaha juga sedang dilakukan bagi meningkatkan daya saing entiti kecil selari
dengan usaha kerajaan untuk meliberalisasikan lagi sektor perkhidmatan.
"Inisiatif ini berkuat kuasa serta-merta, bersempena
wajah baharu korporat Mida dan arah tuju strategiknya," kata Najib.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu yang
berkuat kuasa pada Selasa bertujuan menjadikan pelaburan langsung domestik menyumbang
sebanyak 73 peratus pelaburan dalam ekonomi menjelang 2020, dengan 27 peratus
lagi disumber menerusi pelaburan langsung asing.- BERNAMA

No comments:
Post a Comment