Translate

Sunday, August 5, 2012

Dakwaan Parti Baharu Lebih Baik Tidak Berasas - Timbalan Ketua Menteri

Datuk Seri Yahya Hussin
PUTATAN, 5 Ogos (Bernama) -- Rakyat Sabah diingatkan agar tidak terpengaruh dengan dakwaan bahawa parti politik baharu yang ditubuhkan lebih baik berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ini kerana kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin, dakwaan itu tidak disokong bukti memandangkan keupayaan parti baharu berkenaan dalam mentadbir negeri belum diuji.

"Bagaimana mereka mendakwa mereka lebih baik daripada kerajaan BN sekarang, sedangkan mereka belum pernah menjadi kerajaan.

"Sebab itu,saya mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah parti baharu atau pergerakan politik yang menyokong pembangkang yang menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan sokongan menjelang pilihan raya umum ke-13," katanya pada majlis penyerahan bantuan dan berbuka puasa bersama asnaf di pekarangan Masjid Kampung Lok Kawi Baru, dekat sini malam tadi.

Yahya yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Petagas, berkata kerajaan BN telah membuktikan kemampuannya mentadbir negara dan negeri serta membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Katanya kerajaan BN sentiasa mencari jalan membantu memperbaiki segala aspek kehidupan rakyat dengan memperkenal pelbagai program bantuan dan kemudahan demi faedah rakyat.

"Program Transformasi yang diperkenalkan banyak membantu meringankan beban rakyat pelbagai peringkat di samping membantu meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi mereka," katanya.

Menurutnya kestabilan politik, keamanan dan kesejahteraan di bawah pemerintahan kerajaan BN telah membolehkan wang zakat yang dikumpul diagihkan kepada golongan yang layak.

Yahya berkata dengan adanya sokongan yang berterusan, Kerajaan BN dapat membawa lebih banyak pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat.

-- BERNAMA

No comments: