Translate

Tuesday, August 28, 2012

Kekayaan Negara Wajar Digunakan Bantu Imam Dan Pengerusi JKKK Tunai Haji - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak
PUTRAJAYA, -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebahagian kekayaan dan pendapatan negara sewajarnya digunakan untuk membantu imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menunaikan haji kerana mereka memainkan peranan penting dalam urusan agama dan kemasyarakatan.

Perdana Menteri berkata masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada kedua-dua kumpulan itu yang gigih melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.

Katanya semasa Program Khas Haji dilancarkan tahun lepas, beliau mendapati keadaan menyayat hati apabila ada antara imam dan pengerusi JKKK mempunyai simpanan Tabung Haji yang amat terbatas.

"Ini menyedarkan saya, kalau kita dapat mencari rezeki melalui kepimpinan dan pentadbiran untuk menjana kekayaan dan pendapatan, maka amat wajar sebahagian daripada itu kita digunakan untuk tujuan yang sangat baik dan mulia ini.

"Pada hemat saya...lebih baik kalau kita dapat menghulurkan bantuan agar imam-imam dan ketua-ketua kampung kita dapat menyempurnakan keperluan untuk menunaikan ibadah haji masing-masing," katanya pada majlis penyerahan 400 surat tawaran untuk menunaikan fardu haji di Seri Perdana di sini hari Isnin. Bakal jemaah haji turut menerima satu set kain ihram dan barangan kelengkapan haji yang lain.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Lembaga 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail.

Di bawah Program Khas Haji yang kedua ini, 1MDB akan menanggung RM4 juta manakala Lembaga Tabung Haji sebanyak RM2 juta yang membolehkan 200 imam dan 200 pengerusi JKKK menunaikan haji tahun ini.

Najib berkata sejak menerajui kepimpinan negara, beliau telah memasang niat untuk berusaha mencari jalan bagi memastikan setiap imam, pengerusi JKKK dan ketua kampung di seluruh negara dapat menunaikan haji.

"Niat ini menjadi kenyataan bermula tahun lepas apabila seramai 111 imam dan ketua kampung berjaya sampai ke tanah suci dan menunaikan haji masing-masing.

"Saya menunaikan haji pada musim lalu dan saya melihat betapa besar impak program ini kepada mereka yang terpilih. Jadi, saya berniat pada musim haji ini, kita melonjakkan jumlah kepada 400 orang," katanya.

Dalam pada itu, Najib meminta para bakal jemaah haji berdoa di tanah suci supaya Malaysia mencapai kejayaan dan keamanan.

Sementara itu, wakil bakal jemaah haji, Jalaludin Mat Jali berkata program yang dicetuskan Perdana Menteri memberi pengertian yang besar kerana diberi peluang istimewa untuk menunaikan haji.

"Mungkin di kalangan kami sebelum ini mahu menunaikan haji tetapi tidak kesampaian kerana masalah kuota dan kewangan. Dengan program ini, hasrat kami untuk menunaikan haji tercapai.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menghargai jasa dan sumbangan kami kepada masyarakat setempat. Dengan anugerah ini, kami berikrar untuk memberi manfaat kepada pembinaan ummah dalam kariah kami," kata imam dari Selangor itu.

Pengerusi JKKK Kampung Sungai Miang, Pekan, Pahang, Abdul Majid Mohamed bersyukur kerana pada usia 83 tahun beliau diberi peluang menunaikan rukun Islam kelima itu.

-- BERNAMA

No comments: