Translate

Thursday, August 16, 2012

Malaysia Akan Bertegas Dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC – PM

Datuk Seri Najib Tun Razak.

MAKKAH, 16 Ogos – Malaysia akan menyatakan pendirian tegas terhadap isu di tiga negara Islam pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di sini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. (gambar)

Perdana Menteri berkata ketiga-tiga isu itu ialah pergolakan di Syria, pengiktirafan negara Palestin di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan isu penindasan umat Islam di Myanmar.

Najib berkata beliau akan menyentuh isu-isu itu dalam ucapannya awal pagi esok dan seterusnya menyatakan pendirian Malaysia.

“Kita akan menyokong cadangan untuk menggantung keanggotaan Syria dalam OIC kerana keadaan di negara itu telah meruncing sehingga rakyat kehilangan nyawa dan harta benda,” katanya kepada pemberita Malaysia di sini, Rabu.

Perdana menteri mengetuai delegasi negara pada sidang kemuncak luar biasa itu yang bermula malam Selasa.

Najib berkata Malaysia berpendapat telah tiba masanya untuk kerajaan Syria memberhentikan keganasan dan menghormati hak rakyatnya yang mahukan pilihan raya secara demokratik diwujudkan di negara itu.

Beliau berkata bagi isu Palestin pula, Malaysia akan mendesak agar PBB mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara anggotanya.OIC harus membuat pendirian agar impian menjadikan Palestin sebagai negara berdaulat dan anggota PBB menjadi realiti, kata perdana menteri.

“Isu negara Palestin adalah satu isu yang sentiasa dekat di hati rakyat Malaysia dan kami mahukan Palestin diiktiraf oleh PBB dalam persidangannya September ini,” katanya.

Najib berkata Malaysia juga mahukan OIC terus memperjuangkan nasib umat Islam Rohingya di Myanmar yang didakwa ditindas dan dianiaya.

Perdana menteri berkata OIC telah membentuk sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai ‘Fact Finding Mission’ untuk melawat Myanmar dan mendapatkan maklumat sebenar mengenainya.

“Saya pernah menulis surat kepada Presiden Thein Sein dan beliau telah membalasnya dengan menyatakan bahawa isu itu (penindasan umat Islam) bukanlah sebesar seperti yang digambarkan oleh dunia luar dan oleh itu kita tunggu laporan dari Fact Finding untuk mendapatkan maklumat yang lengkap,” katanya.

Beliau berkata di Malaysia sahaja terdapat lebih 90,000 pelarian Rohingya dan kerajaan sedang berusaha membantu mereka.

Najib berkata beliau juga telah bertemu dengan Presiden Pakistan Asif Ali Zardari dan berbincang mengenai hubungan dua hala antara negara itu dan Malaysia.

“Pakistan telah meminta Malaysia supaya syarikat swasta kita melabur dalam Taman Industri di negaranya bagi mengimbangi dagangan dua hala yang memihak kepada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Pakistan adalah pengimport kelapa sawit Malaysia dan negara itu tidak mempunyai komoditi untuk dieksport ke negara ini.

“Saya nyatakan perkara itu akan dibincang secara mendalam,” katanya.

No comments: