Translate

Thursday, August 2, 2012

MASA DEPAN PADA PARTI BUKAN INDIVIDU.

BINCANG..... Salleh (dua kanan) berbincang dengan Hassan (dua kiri). Turut Kelihatan Isnin dan Abdul Rahman (kanan).
BEAUFORT: Penduduk negeri ini dingatkan agar terus mengantungkan harapan masa depan mereka kepada parti yang telah terbukti berjasa dan bukannya berharap kepada mana-mana individu seperti pemimpin parti atau mana-mana pemimpin serpihan, kata Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sabah, Datuk Salleh Tun Said.

“Pemimpin datang dan pergi tetapi (perjuangan) parti itu harus kita teruskan. Kita tidak boleh mengharapkan masa hadapan kita kepada mana-mana individu. Masa hadapan kita telah kita gantungkan kepada parti, parti yang terbukti boleh membela kita dan tidak ada lain ialah Umno dan BN.

“Dalam perjuangan, individu itu tidaklah penting, yang penting adalah parti. Saya masih ingat semasa kakak saya yang bertanding atas tiket PKR berhadapan Datuk Zainab (calon BN) di Karambunai. Kakak? Saya pastikan dia kalah dan dia kalah. Bukan soal keluarga, bukan soal kawan tapi ini soal perjuangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Bersungkai dan Solat Tarawih Bersama rakyat dan Pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah di Perkarangan Rumah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun di Kg Limbawang di sini.

Majlis tazkirah sebelum berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan sunat Tarwih dilangsungkan di Masjid Kg Limbawang yang terletak kira-kira 300 meter dari situ.

Hadir sama Setiusaha Perhubungan Umno Negeri Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan, Kamarlin Ombi; Timbalan Ketua Umno Bahgian Beaufort, Isnin Aliasnih; Naib Ketua Umno Bahagaian Beaufort, Datuk Kimjus Duin dan Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Beaufort, Saridah Mohd Dun.

Sementara itu Presiden JATI yang juga Adun Gombak Setia Selangor, Dato' Dr Hassan Mohamed Ali turut hadir sebagai penceramah khas pada majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 penduduk itu.

Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata politik adalah untuk kebaikan masyarakat dan negara tetapi bukannya perjuangan untuk seseorang individu.

“Politik bukan sekadar untuk diri sendiri. Politik itu untuk membangun masyarakat. Kita tidak boleh mendengar (dakyah) pihak lawan (parti pembangkang) kerana janji mereka itu adalah janji manis semata-mata.

“Kita jangan terpedaya dengan janji-jani mereka ini. Mungkin ada kawan-kawan kita membuat persediaan kerana terbelit (dengan) janji manis mereka. Saya ada satu pantun khusus untuk mereka yang termakan dengan janji manis;

Datang ke Beaufort singgah di Kimanis,
nampak api terang bernyala;
jangan terpedaya janji yang manis,
nanti menyesal selama-lamanya. 


Salleh seterusnya mengingatkan agar ahli parti sentiasa bersatu padu demi memastikan kejayan dan masa depan bangsa dan negara bterus terjamin.

“Pada satu ketika dahulu kita telah berpecah belah. Akhirnya Umno telah menyatu padukan kita. Menyatu padukan pemimpin, menyatu padukan masyarakat.

“Kita harus pastikan agar kita bersatu padu. Kalau kita berpecah bukan mudah untuk kita menyatukan semula. Benda yang baik ini kita kena pelihara demi masa hadapan kita.

“Justeru itu saya amat berharap agar kita di sini pastikan terus bersatu padu . Bukan untuk kita tetapi untuk masa hadapan kita. Saya yakin kita tidak ada masalah besar untuk mendapat kejayaan yang penting perpaduan kita. Yang penting keiklhasan kita dalam perjuangan,” katanya sambil membacakan pantun sinis yang ditujukan kepada pemimpin parti yang lupa kepada prinsip dan dasar perjuangan Umno.

Anak katak melompat-lompat,
lompat jauh di atas pasir;
Awas yang dikejar nanti tidak dapat,
yang dikandung pula jatuh tercicir.


“Yang sedia ada kita pelihara baik-baik. Kalau ada masalah kita runding bersama. Tidak perlu..'Ini Kalilah' yang penting 'Rundinglah',” katanya.

“Tidak ada masalah yang tidak boleh kita selesaikan. Sama ada perbezaan pendapat kita boleh berbincang. Kalau ada yang perlu kita runding bersama, kita runding bersama kerana matlamat kita adalah sama. Matlamat kita ialah untuk membela masyarakat kita tidak kira bangsa, kaum dan agamanya.

“Jalan terus seperti biasa, jangan gopoh .Kadang-kadang sebenarnya tidak ada maslah kita yang buat masalah. Kadangkala semuanya OK, kita kata tidak OK. Kadang-kadang kita terlalu banyak andaian.

“Saya melihat ramai yang hadir, pemimpin-pemimpin tempatan ramai yang hadir ini menunjukkan bahawa kita tidak lari daripada perjuangan,” katanya.

No comments: