Translate

Saturday, August 18, 2012

Najib: Umat Islam Perlu Insaf Kesejahteraan Dan Keselamatan Tidak 'Datang Bergolek'

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat dan umat Islam di negara ini untuk memastikan negara ini kekal aman dan selamat serta menginsafi bahawa kesejahteraan dan keselamatan yang dinikmati hari ini 'bukanlah datang secara bergolek'.

Dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri beliau, Najib berkata kerajaan menyedari bahawa sebuah Malaysia maju perlulah juga sebuah Malaysia yang selamat dan sejahtera.

"Kita mahukan sebuah Malaysia yang aman daripada ancaman luar dan dalaman, di mana kawasan kejiranan dan jalan-jalannya bebas daripada jenayah. Sebuah negara di mana rakyatnya merasa aman dan selamat. Kesimpulannya, sebuah negara yang terbaik untuk membesarkan anak-anak Malaysia," katanya.

Bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan, Perdana Menteri berkata ia memerlukan pendekatan yang bersepadu serta rakyat Malaysia yang lebih prihatin dan peduli kepada keluarga, jiran-jiran, rakan-rakan dan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

"Kita tidak boleh menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab memerangi jenayah kepada pihak berkuasa tanpa sumbangan kita sebagai rakyat yang prihatin. Jika kita membiarkan jenayah berlaku tanpa tindakan, kita sebenarnya akan hanya menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan bersama," katanya.

Bagi mencapai matlamat itu, Perdana Menteri mengajak rakyat mengubah sikap dan melabur secara mapan bagi mempunyai 'mind-set' yang betul serta menyediakan prasarana keselamatan yang lebih ampuh.

Najib berkata kerajaan akan memastikan agensi-agensi yang bertanggungjawab akan lebih berkesan untuk menangani cabaran mencegah jenayah era mutakhir.

"Kita menyedari usaha ini memerlukan kaedah pencegahan jenayah yang baru, serta kepimpinan yang dinamik, akauntabiliti yang tinggi, struktur organisasi yang lebih sesuai, latihan yang lebih relevan serta peralatan yang moden," katanya.

Najib berkata umat Islam di negara ini amat bertuah kerana dapat hidup di dalam negara yang mencipta kejayaan berterusan dan sentiasa dilimpahi rahmat kejayaan, walaupun dunia keliling dilanda pelbagai kemelut politik dan ekonomi.

"Hari ini kita dapat menyaksikan bagaimana kemelut politik melanda negara-negara di benua Asia dan Afrika, kita dapat menyaksikan bagaimana negara-negara di benua Eropah dan Amerika yang dianggap sebagai negara maju pun ditimpa krisis ekonomi yang kronik akibat kegagalan mengurus negara dengan baik.

"Kita juga telah menyaksikan kegagalan ini telah memberi kesan yang buruk kepada kesejahteraan rakyat mereka apabila kadar pengangguran semakin meningkat, penciptaan peluang pekerjaan yang tidak mencukupi serta pertumbuhan yang rendah telah menyebabkan taraf dan kualiti hidup rakyat merudum," jelas beliau.

Najib berkata di tengah-tengah semua kekusutan ini, negara tercinta Malaysia telah mencipta kejayaan berterusan sebagai sebuah negara majmuk yang dirahmati dengan perpaduan nasional.

"Kita mempunyai tradisi meraikan kepelbagaian agama, budaya dan bangsa, kepelbagaian yang di negara lain menjadi punca perpecahan, di negara ini menjadi pemangkin kemajuan," katanya.

Hakikatnya, Najib berkata rakyat Malaysia hidup di dalam sebuah negara di mana keamanan, keikraman dan kemakmuran merupakan realiti nasional, bukan semata-mata harapan apatah lagi impian indah.

Oleh itu, Najib meminta umat Islam agar mengingati pengorbanan yang telah dan sedang dilakukan oleh anggota-anggota keselamatan bagi membolehkan rakyat hidup di dalam negara yang aman dan makmur sempena hari dan bulan yang penuh kemuliaan ini.

"Kejayaan Malaysia dimungkinkan doa oleh semua rakyat Malaysia, yang disulami ikhtiar nasional yang berteraskan perancangan yang inovatif, pelaksanaan yang cekap, tadbir urus yang baik, kreativiti yang tinggi, produktiviti yang terus meningkat serta daya saing nasional yang sentiasa diasah," katanya.

Najib berkata kerajaan komited untuk meneruskan kejayaan nasional ini dengan sokongan dan dukungan padu semua rakyat Malaysia, bagi merealisasikan matlamat membawa Malaysia ke arah status sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Sempena Aidilfitri ini, beliau meminta umat Islam untuk meneruskan tradisi rumah terbuka, dengan membuka seluas-luasnya pintu rumah serta pintu hati untuk rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama di hari yang mulia ini.

"Sehubungan itu, pada kesempatan ini, saya ingin menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf bagi pihak diri saya, isteri dan keluarga di atas apa-apa yang terkhilaf.

"Saya berdoa kepada Allah SWT supaya semua umat Islam dapat menyambut perayaan ini dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran di samping mereka yang tersayang," tambah beliau. -- BERNAMA

No comments: