Translate

Monday, August 13, 2012

PAKATAN HANYA CARI KEUNTUNGAN POLITIK DARIPADA PENUBUHAN RCI, KATA SALLEH


Salleh Said Keruak.
KOTA BELUD, 13 Ogos (Bernama) -- Parti pembangkang di negeri ini sebenarnya tidak berminat untuk mencari penyelesaian bagi masalah pendatang tanpa izin yang berlarutan sejak sekian lama melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), kata timbalan ketua perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Sebaliknya, kata beliau pembangkang atau Pakatan hanya ingin mencari keuntungan politik melalui penubuhan suruhanjaya itu.

"Macam mana kita boleh tahu hasil sesuatu tugas yang belum dilaksanakan? Kita perlu beri masa secukupnya kepada anggota panel RCI ini untuk menyiapkan siasatan mereka.

"Malah, parti pembangkang tidak berminat langsung untuk menghulurkan bantuan bagi menyelesaikan isu pendatang tanpa izin di Sabah.

"Sebab itulah mereka terus menggunakan isu ini untuk menawan hati dan minda pengundi pada pilihan raya umum akan datang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ikhlas dan serius untuk menyelesaikan isu yang berlarutan sejak sekian lama itu apabila beliau mengumumkan penubuhan RCI dan selepas itu butiran serta terma rujukan (TOR) suruhanjaya berkenaan.

Ketika mengumumkan TOR suruhanjaya itu di Kota Kinabalu Sabtu lepas, Najib berkata panel berkenaan akan diberi masa enam bulan untuk menyelesaikan siasatannya tentang kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah.

Beliau juga dipetik sebagai berkata bahawa tempoh enam bulan itu bermula dari tarikh surat cara pelantikan dikeluarkan kepada pengerusi dan anggota suruhanjaya itu, manakala laporan mereka akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Suruhanjaya itu akan dipengerusikan bersama oleh bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, manakala Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Saripuddin Kasim dilantik sebagai setiausahanya.

Suruhanjaya itu akan dianggotai empat pesuruhjaya -- bekas naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Datuk Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Peguam Besar Negeri Sabah Tan Sri Herman Luping, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk K.Y. Mustafa dan timbalan pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Datuk Henry Chin Poy Wu.

Mengenai kenyataan presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek di Kota Kinabalu semalam bahawa ketua Pakatan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan orang pertama yang menolak penubuhan RCI pada 1994 ketika beliau menyandang jawatan timbalan perdana menteri, Salleh berkata terserahlah kepada rakyat untuk menilai kejujuran pembangkang berhubung penubuhan suruhanjaya itu.

Dr Chua dipetik sebagai memperingatkan rakyat Sabah supaya tidak perpedaya oleh Anwar kerana pemimpin Pakatan itu kini menyanyikan lagu lain tentang isu berkenaan.

Oleh itu, Salleh menggesa rakyat Sabah supaya menolak parti pembangkang, yang kata beliau hanya pandai menabur janji manis, tetapi tidak mampu menunaikannya. -- BERNAMA

No comments: