Translate

Sunday, August 5, 2012

Pemimpin Dalam Komponen BN Sabah Keluar Parti Ada Agenda Sendiri - Musa Aman

Datuk Seri Musa Aman
KINABATANGAN (Sabah), 5 Ogos (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyifatkan tindakan pemimpin yang keluar dari parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) di negeri ini sebagai mempunyai agenda sendiri.

"Mungkin mereka ada agenda sendiri dan ia adalah hak masing-masing. Kalau ada yang tidak sudi bersama kita dalam BN, kita biarkan saja si luncai terjun dengan labunya," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama Umno Zon 5 di sini hari Ahad.

Umno Zon 5 membabitkan Umno Bahagian Kinabatangan, Beluran, Libaran, Batu Sapi dan Sandakan.

Musa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, berkata beliau akur dengan permintaan pemimpin terbabit untuk tidak lagi bersama dalam BN.

Katanya tindakan pemimpin terbabit tidak menjejaskan BN Sabah terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana, beliau yakin BN Sabah berada pada landasan yang betul dalam perjuangannya terutama untuk membela rakyat dan membawa pembangunan di negeri ini.

Katanya ini dilakukan oleh kerajaan melalui pelaksanaan beberapa program untuk meringankan beban rakyat, antaranya Bantuan Rakyat 1Malaysia yang memberi banyak manfaat kepada penerima.

Musa berkata kerajaan ikhlas dalam perjuangan membela rakyat terutama dalam mengotakan janji yang diberi kepada rakyat.

Baru-baru ini, Anggota Parlimen Beaufort Datuk Lajim Ukin melepaskan semua jawatannya dalam Umno serta BN dan Anggota Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Bumburing juga berbuat demikian dengan melepaskan jawatannya dalam parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu.

-- BERNAMA

No comments: