Translate

Sunday, August 5, 2012

PM Puji Rakyat Malaysia Atas Kejayaan Ekonomi Negara

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi penghormatan kepada rakyat Malaysia yang berdedikasi dan bekerja keras atas peranan mereka dalam menjayakan ekonomi Malaysia beberapa bulan kebelakangan ini di celah-celah kemuraman ekonomi di lain-lain bahagian dunia.

"Sebagai perdana menteri Malaysia, merupakan satu tarikan, tetapi sesuatu yang salah, untuk mengaku bahawa saya yang membawa kejayaan ekonomi ini. Pujian sebenar harus diberikan kepada kecemerlangan usahawan kami, kesungguhan graduan muda kami, dan tentunya dedikasi dan kerja keras ratusan ribu rakyat Malaysia yang bekerja dalam industri teras seperti perladangan, perkhidmatan dan perkilangan.

"Selain daripada itu, pengawasan kukuh kerajaan, terutamanya dalam Program Transformasi Ekonomi kami, telah memberikan asas yang kukuh bagi daya tahan ekonomi negara kami," katanya dalam satu rencana pendapat yang muncul buat pertama kali dalam akhbar Hong Kong, South China Morning Post, semalam.

Dalam beberapa minggu ini, Najib berkata wartawan telah menulis tentang bank-bank yang telah menikmati peningkatan ketara di Kuala Lumpur berikutan tawaran saham awal oleh Felda Global Ventures Holdings dan IHH Healthcare di Bursa Malaysia, dalam penyenaraian kedua dan ketiga terbesar di dunia tahun ini.

Beliau berkata, dengan menyamakan Kuala Lumpur dengan pusat-pusat kewangan utama seperti Hong Kong atau Singapura, seperti yang dilakukan oleh beberapa orang wartawan dalam beberapa minggu ini, ia mungkin menunjukkan publisiti yang sentiasa mengelilingi penyenaraian pasaran saham yang penting.

Najib berkata Bursa Malaysia semakin kukuh dan mencecah ketinggian rekod pada Julai.

"Dengan menghindari trend muram global, ia juga mencerminkan ekonomi Malaysia yang lebih meluas. Pada suku pertama tahun ini, ekonomi Malaysia mecatatkan 4.7 peratus yang membanggakan, ketika pasaran eksport utama kita dilanda kemelesetan, dan kecemerlangan rakan niaga penting kita seperti China dan India semakin merosot.

"Paras hutang Malaysia kekal pada tahap boleh urus 53.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar, sementara kadar pengangguran kami dicatatkan pada 3.0 peratus. Pendapatan setahun telah meningkat daripada US$6,700 pada 2009 kepada US$9,700 hujung tahun lepas. Perdana Menteri Britain David Cameron baru-baru ini merujuk Malaysia sebagai 'pusat kuasa ekonomi global moden," tulis perdana menteri itu.

Najib berkata Malaysia tidak pernah mengguna pakai kapitalisme kepuasan segera tidak terkawal yang terbukti membawa bencana kepada beberapa ekonomi semenjak krisis kewangan global.

"Sebaliknya, kami menumpukan kepada memastikan kestabilan dan melaksanakan reformasi yang boleh menjanjikan dividen jangka panjang. Kami telah meliberalisasikan sektor perkhidmatan, memberi fokus kepada industri pertumbuhan utama dan melepaskan pemilikan negara dalam syarikat-syarikat terkemuka. Felda Global dan IHH Healthcare adalah kes sebegitu.

"Sepanjang beberapa tahun, kerajaan memiliki pegangan majoriti dalam syarikat-syarikat ini, melindungi mereka dari cabaran pasaran sehingga mereka cukup matang. Felda Global kini merupakan syarikat minyak sawit ketiga terbesar di dunia dari segi keluasan, sementara IHH Healthcare ialah penggendali hospital terbesar Asia.

Najib berkata kerajaan terus menyokong industri baru muncul yang akan memperkasakan Malaysia dan ekonomi global pada masa depan.

"Sebagai contoh, kami menyasarkan untuk membangunkan sektor maklumat, komunikasi dan teknologi untuk memberikan 17 peratus pendapatan kebangsaan menjelang 2020, dan kami menyokong teknologi karbon rendah, seperti modul solar, pencahayaan LED amat berkesan dan kereta hybrid dan elektrik.

"Sektor pelancongan dan perkilangan kami memang telah menjadi pendahulu global, sementara Malaysia adalah peneraju dunia dalam kewangan Islam."

Mengenai Tun Razak Exchange, daerah kewangan antarabangsa terbaru Kuala Lumpur, beliau berkata bursa itu menyasarkan untuk menarik 250 syarikat, mencipta 500,000 pekerjaan, menjana lebih US$8 bilion dalam nilai pembangunan dan mengubah Kuala Lumpur menjadi pusat kewangan global.

Najib berkata beliau percaya bahawa pendekatan Malaysia - satu bentuk kapitalisme yang kukuh dan membina, dengan reformasi ekonomi dan politik berjalan seiring - akan terus membawa kejayaan.

-- BERNAMA

No comments: