Translate

Friday, August 17, 2012

SALLEH AJAK KOMUNITI RUMPUN USBO BERSATU DAN SOKONG KEPIMPINAN KERAJAAN BN

Salleh menghadiri majlis berbuka puasa di kediaman Pengerusi USBO Kudat, Hj Gurahman Lolong malam kelmarin.

KUDAT, 17 Ogos (Bernama) -- Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo) Datuk Seri Salleh Said Keruak mengajak komuniti rumpun Usbo di negeri ini supaya terus memperkukuh kesatuan dan perpaduan, demi menjamin kemajuan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata perpaduan penting untuk dipelihara kerana ia merupakan prasyarat kemajuan sesebuah tamadun bangsa.

"Kita hendaklah mengelak sebarang perselisihan kerana ia boleh membawa kepada perpecahan yang akhirnya merugikan kita semua," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di kediaman Gurahman Lolong di sini semalam.

Turut hadir anggota Dewan Undangan Negeri Tanjong Kapor Datuk Teo Chee Kang dan Setiausaha Agung Usbo Datuk Salsidu Ibrahim.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah berkata perpecahan yang berlaku sebelum ini hendaklah dijadikan iktibar ke arah memperkukuh kesatuan.

"Dulu kita pernah berpecah, tetapi semenjak kedatangan Umno ke Sabah, ia telah menyatukan kita bersama-sama dengan kerabat komponen Barisan Nasional yang lain.

"Justeru, kita wajar mempertahan dan memperkukuh perpaduan ini dan berdiri teguh bersama kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat pusat dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di peringkat negeri," katanya.

Menurutnya, masyarakat komuniti rumpun Usbo - terdiri daripada etnik Irranun, Sama, Suluk, Binadan/Banaran, Ubian, Sama Delaut, Sikubung, Simunul, Samal, Yakan dan Jama Mapun bertuah turut sama menikmati kemajuan yang dibawa kerajaan di bawah gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah mengajak rakyat supaya mengambil iktibar daripada ketidakstabilan di beberapa negara yang berpunca daripada keruntuhan perpaduan rakyatnya.

"Kita melihat banyak negara bergolak, rakyat hidup menderita di banyak tempat seluruh dunia yang disebabkan perpecahan dalam komuniti mereka.

"Akibat kekacauan itu, politik menjadi tidak stabil, dan pembangunan terbantut pelaksanaannya," katanya, sambil menyatakan betapa bertuah rakyat negara ini dapat menjalani ibadah puasa dan bakal meraikan Aidilfitri dalam suasana aman.

Beliau mengingatkan rakyat supaya jangan mudah terpedaya atau terpengaruh dengan cubaan pihak tertentu, yang mempunyai agenda tersembunyi, untuk memecahbelah perpaduan.

Katanya, rakyat harus berdiri teguh di belakang pimpinan kerajaan BN yang sudah terbukti sejak merdeka membawa kemajuan untuk rakyat.

"Jangan kita sesekali menggadaikan masa depan dengan terikut-ikut rentak golongan yang menentang kerajaan, kerana mereka belum teruji kemampuan sedangkan BN telah membuktikan menerusi `track record' selama 55 tahun negara merdeka," katanya.

No comments: