Translate

Tuesday, September 11, 2012

Amalan Mensabotaj Calon BN Satu 'Penyakit' Mudaratkan Parti - Rosnah

Rosnah Abdul Rashid Shirlin
KOTA KINABALU, 11 Sept (Bernama) -- Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyifatkan amalan mensabotaj calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum sebagai satu 'penyakit' yang boleh memudaratkan parti.

Beliau berkata Puteri Umno menyokong amaran Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa mana-mana anggota atau pemimpin Umno yang didapati mensabotaj calon akan disingkir daripada parti.

"Pergerakan Puteri Umno menyokong penuh kenyataan ini. Bagi saya ini merupakan satu penyakit yang perlu kita pulihkan.

"Perkara ini tidak seharusnya berlaku iaitu menikam dari belakang dan sabotaj sesama sendiri. Ini satu penyakit yang menyebabkan kita lemah dalam parti," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dihoskan bersama Hospital Ratu Elizabeth 11 dan Pusat Perubatan Sabah di Damai, Luyang dekat sini pada Selasa.

Pada Ahad lepas, Muhyiddin berkata bahawa amaran keras itu disuarakan terhadap mereka yang kecewa kerana tidak terpilih menjadi calon.

-- BERNAMA

No comments: