Translate

Saturday, September 29, 2012

BELANJAWAN: Beri Mandat Pada BN Untuk Teruskan, Tambah Baik Apa Yang Ada - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata masanya hampir tiba apabila rakyat akan membuat pilihan bagi menentukan masa depan mereka dan anak-anak mereka sambil menggesa rakyat memberikan mandat kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambahbaik apa yang ada.

Perdana Menteri berkata persoalan yang perlu ditanya semasa membuat keputusan ialah sama ada kehidupan mereka hari ini lebih baik berbanding semalam dan sama ada hari esok menjanjikan harapan yang sarat dengan peluang serta potensi.

"Jika jawapannya ya, maka tanpa ragu-ragu berilah mandat kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambahbaik apa yang ada," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 berjumlah RM251.6 bilion di Dewan Rakyat, di sini, pada Jumaat.

Najib yang mengumumkan bahawa Belanjawan 2013 sebagai yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13, berkata ia merupakan antara siri-siri belanjawan yang akan mendorong negara tercinta ke arah pencapaian wawasan nasional.


"Sebagai parti yang telah dimandatkan, kami menyeru rakyat menilai secara kritikal dan rasional akan titipan rekod kejayaan yang dimiliki oleh Barisan Nasional (BN). Kerajaan BN dan sebelum itu perikatan telah selama 55 tahun mencipta kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata hakikat rakyat telah memberi mandat kepada kerajaan BN sebanyak 12 kali tanpa putus sejak 1959 bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan oleh kerajaan sedia ada

"Kita tahu ada pihak yang menyeru supaya mereka diberi peluang untuk membentuk kerajaan. Secara berlapang dada, dalam sebuah negara yang demokratik, kita faham tidak salah menawarkan diri, kerana mereka juga ada hak, namun pada akhirnya, rakyatlah yang akan menentukan siapa akan mendapat mandat melalui peti undi," kata beliau.

Sambil memetik madah pujangga, bumi mana tak ditimpa hujan, gading mana yang tidak retak, Najib yang juga Pengerusi BN turut mengakui bahawa kerajaan BN tidak bebas daripada kekhilafan tetapi yang membezakan BN dengan pakatan pembangkang ialah mereka tidak mempunyai ketawadu'an untuk mengakui kesilapan sebaliknya mencipta alasan demi alasan dengan penuh gempita menyalahkan orang lain.

Najib berkata pucuk pangkalnya, pihak yang menawarkan alternatif ini juga perlu dinilai catatan rekod mereka.

"Kerana mereka bukan tidak dikenali rakyat Malaysia. Malah, ada di kalangan mereka pernah diamanahkan sebagai kepimpinan tertinggi yang mengurus khazanah negara. Tidak cukup dengan itu, hari ini di beberapa negeri mereka juga mengepalai kerajaan.

"Kalau hari ini mereka menjanji itu dan ini, rakyat Malaysia harus bertanya, apabila kerajaan berkenaan, ketika masih berjawatan dulu, kenapa tidak melaksanakan apa yang dikokokkan.

"Hakikatnya, jika kita berpeluang, tidak melaksanakan segala yang dijanji, apatah pula jaminan mereka akan melunaskannya jika diberi kuasa sekarang," katanya.

"Bukankah apabila berhadapan dengan krisis kewangan Asia, hampir ranap negara ini dibuatnya?" kata beliau.

Katanya jika kini, di negeri-negeri yang ditadbir mereka, apa yang terkandung dalam manifesto mereka sendiri pun masih tinggal janji, mana mungkin mereka boleh dipercayai dengan amanah dan kuasa.

"Ini berbeza dengan kerajaan BN. Apabila berjanji, ditepati. Bahkan sebelum berjanji pun lagi, kita bersikap bertanggungjawab, dengan menentukan sama ada janji itu boleh ditunaikan atau tidak. Bukannya mengambil sikap asal menang, segala-galanya sanggup dipertaruhkan. Sebaliknya bila menang, janji hilang entah ke mana."

Najib berkata kerajaan BN juga pada hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala kepada rakyat sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta kepimpinan terhadap segala masalah mereka.

Memetik kata-kata seorang ahli falsafah Yunani "The measure of a man is what he does with power" Najib berkata justeru pada hari ini, untuk berkuasa, ada sesetengah pihak sanggup mengadu domba antara agama dan bangsa, sanggup menggadai segala-galanya hatta prinsip sekalipun demi kerakusan kuasa.

Katanya kerajaan BN dibimbing prinsip "fastabiqul khairat" seperti yang terkandung dalam ayat al-Quran yang dibacanya di awal ucapannya, iaitu berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Beliau turut membidas sikap pihak tertentu yang mencadangkan supaya keseluruhan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan dan menyifatkannya sebagai perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab kerana jika dimansuhkan, rakyat Malaysialah yang akan terbeban menanggung lebih RM30 bilion hutang PTPTN.

Katanya pada hakikatnya kerajaan BN adalah perintis kepada perpaduan kaum yang menjadi teras kestabilan nasional tetapi pihak lain yang ingin menjadi kerajaan merintis kekuatan melalui konflik dan kebencian dan kerajaan difitnah serta dituduh semahunya.

"Maka, saya menyeru rakyat Malaysia supaya menghakimi Kerajaan BN dengan amal perbuatan bukannya retorik. Marilah bersama-sama saya dan rakan-rakan untuk kita melepas bebaskan segala potensi yang ada bagi membina sebuah negara yang boleh kita banggakan. Sebuah negara yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada membantu, yang kuat melindungi, yang muda dikasihi, yang tua dihargai, yang memerlukan dikhidmati dan yang berbakat digilap.

"Sesungguhnya kita mahukan Malaysia yang tersanjung di persada antarabangsa. Malaysia yang makmur dan aman. Malaysia yang menjadi cahaya dan oasis di tengah-tengah ketidaktentuan global. Mudah-mudahan dengan izin-Nya dan sokongan padu rakyat, kita bakal membina sebuah realiti dari impian. Kepada Allah kita berserah," katanya mengakhiri ucapan pembentangan Belanjawan 2013 itu.

-- BERNAMA

No comments: