Translate

Wednesday, September 19, 2012

Buat pilihan tepat: Musa

Sementara itu, YAB Ketua Menteri mengucapkan takziah kepada anak-anak Allahyarham Taminsin dan isteri yang terbabit dalam nahas di Jalan Sulaman. Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri SabahYB. DS Salleh Tun Said.
YAB DS Musa Aman dan Barisan kepimpinan UMNO bahagian Beaufort menyanyikan Lagu Resmi UMNO. Turut hadir, Tim Ketua perhubungan UMNO Sabah DS Salleh Tun Said, DS Yahya Hussin Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Dt, Azizah Mohd Dun, Menteri Pembagunan Masyarakat dan hal Ehwal pengguna.

BEAUFORT: Rakyat Beaufort diminta membuat pilihan tepat dan terus menyokong sesiapa sahaja calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata ini penting bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat khususnya di kawasan ini terus terpelihara.

“Saya berjanji akan memajukan Beaufort kerana ini kampung saya. Kita rancang dan majukan Beaufort, Insyallah kita akan berjaya.


“Walaupun saya orang Beaufort tetapi saya tidak bertanding di sini…saya merantau di tempat lain (Libaran) kerana saya ingin memberi peluang kepada anak-anak yang lain bertanding di Beaufort,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Beaufort, di Dewan Pa’Musa Beaufort, di sini, pada Ahad.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Azizah Mohd Dun, pemangku ketua Umno bahagian Beaufort Isnin Aliasnih dan Ketua Puteri Umno Beaufort Saridah Mohd Dun.

Parlimen Beaufort kini disandang oleh bekas anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Lajim Ukin yang baru-baru ini menyatakan sokongan kepada pakatan pembangkang.

Musa berkata: “Kalau wakil rakyat dari parti pembangkang…apa gunanya. Banyak tempat yang diwakili oleh parti pembangkang tidak dapat berbuat apa-apa sebab tidak ada peruntukan dan tidak boleh berjumpa dengan Perdana Menteri.

“Kalau wakil BN, Perdana Menteri pengerusi BN dan Ketua Menteri pun pengerusi BN negeri…senang berbincang. Jadi ini penting kita pastikan calon BN termasuk di Beaufort mencapai kemenangan supaya kita dapat meneruskan pembangunan di seluruh Sabah dan Beaufort,” katanya.

Beliau berkata, pakatan pembangkang yang memerintah di empat buah negeri kini ketakutan akan kemungkinan kerajaan BN akan mengambil alih kuasa di negeri itu.

“Sekarang mereka datang ke Sabah berlagak umpama mengajar itik berenang. Sebenarnya rekod pencapaian kerajaan BN di Sabah jauh lebih baik. Keadaan politik di tempat mereka kini terumbang ambing dan kucar-kacir. Misalnya di Selangor…di sana sini ada masalah termasuk masalah air.

“Mereka juga menabur pelbagai janji yang tidak masuk akal.Saya sebagai Menteri Kewangan Negeri tahu Malaysia akan muflis sekiranya semuanya diberi secara percuma. Ini satu pembohongan besar parti pembangkang…ini tidak betul,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya semua diberikan secara percuma “mana untuk pembangunan kerana, sebagai contoh, di Sabah sahaja kerajaan negeri membayar emolumen atau gaji kakitangan awam negeri sekitar RM700 juta setahun”.

Sehubungan itu beliau berharap rakyat Sabah tidak terpengaruh dengan janji-janji manis pembangkang yang cuba atau terdesak meraih sokongan menjelang pilihan raya ke-13.

No comments: