Translate

Thursday, September 27, 2012

George Kent-Lion Pacific JV Layak Dianugerahi Kontrak LRT

Datuk Seri Najib Tun Razak
27 September, 2012 18:10 PM

PARLIMEN:  - Najib KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata syarikat George Kent-Lion Pacific JV (GKLP JV) layak diberikan kontrak penyambungan laluan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) aliran Ampang kerana mematuhi syarat teknikal, kewangan, perundangan dan syarat kontrak.

Beliau berkata syarikat pembida harga kedua terendah itu merupakan gabungan syarikat tempatan yang berkeupayaan dari segi kewangan dan telah tersenarai di Bursa Malaysia.

Katanya GKLP JV juga telah lulus penilaian teknikal dan menawarkan harga kedua terendah dalam kalangan lapan pembida yang mengemukakan tawaran.

"Pembida yang menawarkan harga lebih rendah daripada GKLP JV tidak dipertimbangkan kerana didapati tidak mematuhi sepenuhnya syarat-syarat kontrak," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Tony Pua Kiam Wee (DAP-Petaling Jaya Utara) di Dewan Rakyat Khamis.


Loke bertanyakan sebab syarikat George Kent yang tidak berpengalaman dalam sektor rel ditawarkan kontrak projek pemanjangan LRT walau pun tender syarikat tersebut adalah lebih mahal daripada syarikat lain yang mempunyai pengalaman yang luas.

Najib berkata andaian bahawa George Kent tidak berpengalaman di dalam sektor rel adalah tidak tepat kerana gabungan syarikat tempatan GKLP JV mempunyai kepakaran di dalam bidang sub-sistem rel termasuk kerja-kerja sistem SCADA, pemasangan landasan keretapi termasuk landasan konduktor, sistem komunikasi dan pelindung kilat.

Bagi sub-sistem seperti semboyan, katanya, ia bakal diuruskan oleh syarikat Thales, yang merupakan rakan pelaksana teknikal yang berkredibiliti tinggi.

"Di samping itu, unsur-unsur yang boleh membawa kepada pengoptimuman kos operasi melalui kesinambungan sistem-sistem sedia ada juga diambil kira."

"Aspek pembangunan vendor serta peluang syarikat-syarikat berwibawa tempatan di dalam menguasai bidang-bidang pengetahuan berteknologi tinggi melalui penglibatan secara langsung di dalam projek-projek seumpama ini terutama dari perspektif penjanaan ekonomi perlu juga diambil kira," katanya.

Najib berkata ia adalah perlu bagi memastikan negara mendapat manfaat sepenuhnya dari perbelanjaan besar projek-projek infrastruktur yang dijalankan.

Mengenai spekulasi dan dakwaan oleh pihak-pihak tertentu ketika proses penilaian dijalankan, Perdana Menteri berkata pembida-pembida yang tidak berjaya, termasuk pembida antarabangsa turut akur dengan keputusan tersebut.

"Ini adalah kerana penilaian yang dibuat adalah secara menyeluruh dari aspek teknikal dan komersil. Sehingga kini, tiada pembida yang membangkitkan rasa ketidakpuasan hati mereka terhadap pihak kementerian mengenai penganugerahan tender tersebut yang bernilai RM1.084 bilion," katanya.

-- BERNAMA

No comments: