Translate

Friday, September 28, 2012

LAPORAN: Kerajaan Fokus Usaha Tingkatkan Kualiti Hidup Rakyat

Datuk Seri Najib Tun Razak,
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan menambah bilangan anggota polis dengan menyediakan peruntukan tambahan bagi pengambilan pegawai polis baharu dan pembelian peralatan canggih untuk mengurangkan kejadian jenayah.

Menurut Laporan Ekonomi 2012/2013 yang dikeluarkan Jumaat, peruntukan turut disediakan bagi melaksanakan program yang dapat meningkatkan kesedaran dan kerjasama awam dalam usaha membanteras jenayah.

Disediakan oleh Kementerian Kewangan sempena pembentangan Belanjawan 2013 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, laporan menyatakan belanjawan itu menyediakan peruntukan bagi inisiatif baharu untuk membekalkan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat.


Perkara itu antara langkah yang digariskan oleh Belanjawan 2013 yang memberi fokus kepada usaha meningkatkan kualiti kehidupan rakyat di seluruh negara melalui pertumbuhan ekonomi yang mampan, perbelanjaan berhemat dan pengurangan defisit fiskal dengan matlamat keseluruhan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Untuk mencapai objektif ini, penekanan akan diberi kepada beberapa usaha termasuk merancakkan aktiviti pelaburan, mempergiat inovasi dan meningkatkan produktiviti, memperkasa pendidikan dan latihan, meningkatkan taraf hidup rakyat dan memperkukuh pencapaian perkhidmatan awam.

Inisiatif lain untuk meningkatkan kualiti hidup ialah menambah baik sistem pengangkutan dan kesalinghubungan di lokasi seperti Kuantan, Ipoh, Seremban, Kuching dan Kota Kinabalu, sebagaimana usaha menangani kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.

Peruntukan juga akan disediakan bagi pembinaan hospital baharu dan menambah bilangan Klinik 1Malaysia.

Dalam pada itu, laporan ekonomi tersebut berkata usaha akan diambil untuk mentrasformasikan sektor awam menjadi organisasi yang memberi tumpuan kepada produktiviti, kreativiti dan inovasi dalam menyediakan perkhidmatan secara pantas, tepat dan berintegriti.

Menurut laporan itu kerajaan akan mengambil langkah bersesuaian bagi meningkatkan lagi kutipan hasil serta menambah baik keberkesanan dan kecekapan perbelanjaan awam.

Menyentuh usaha memperkasa pendidikan dan latihan, peruntukan akan ditambah bagi menjayakan sasaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia serta menyelenggara dan menaik taraf kemudahan sekolah kerajaan.

Mengambil kira kepentingan pendidikan awal kanak-kanak, laporan itu berkata beberapa langkah akan diperkenalkan bagi memupuk dan membentuk pelajar dari awal usia untuk menjadi kuat, bersatu dan berdaya tahan untuk berdepan dengan pelbagai cabaran dan kesukaran.

Dana akan diperuntukkan kepada bidang paling kritikal seperti program latihan dan peningkatan kemahiran guru, kata laporan itu.

Mengenai usaha merancakkan aktiviti pelaburan, laporan itu menyatakan kerajaan terus komited dalam menyediakan persekitaran perniagaan kondusif bagi membolehkan sektor swasta meneraju aktiviti ekonomi.

Pelaburan swasta disasar berkembang 13 peratus setahun dalam tempoh 2011 hingga 2015, dan bagi merealisasikan sasaran ini Belanjawan 2013 akan terus menarik pelaburan langsung asing di samping menggalakkan pelaburan dalam negeri.

Projek pelaburan swasta melibatkan antara lain, industri besi dan keluli, telekomunikasi, elektrik dan elektronik, getah dan peralatan perubatan, serta minyak dan gas (O&G).

"Selain itu, Belanjawan 2013 akan memperkenalkan inisiatif terbaharu bagi mencergaskan pasaran modal dan kewangan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab kewangan," kata laporan itu.

Sektor pertanian juga akan mendapat manfaat dalam Belanjawan 2013 yang turut menyasarkan jaminan makanan mencukupi serta mampu dan mudah diperoleh rakyat.

Dalam soal mempergiat inovasi dan meningkatkan produktiviti, peruntukan akan disediakan kepada institusi pengajian tinggi bagi menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dan pengkomersilan produk berinovatif.

Selain itu, peruntukan akan disediakan bagi pembangunan industri bernilai tambah tinggi terutama produk agro makanan dan pertanian.

Usaha akan dipergiat bagi mempromosi teknologi hijau sebagai langkah ke hadapan untuk menikmati kehidupan lebih mesra alam," kata laporan itu.

-- BERNAMA

No comments: