Translate

Thursday, September 6, 2012

Lawatan Najib Ke Kota Belud Perangsang Kepada BN - Salleh

Salleh Said Keruak ketika bersama rombongan Perdana Menteri ke Kg. Rampayan Laut Kota Belud. Turut kelihatan ialah TS Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Sabah selaku Presiden PBS.
KOTA BELUD (Sabah), 4 Sept (Bernama) -- Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kota Belud Ahad lepas untuk menghadiri majlis Aidilfitri dianggap sebagai perangsang untuk gabungan parti pemerintah dan penghargaan kepada rakyat di kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu.

Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo) Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata mesej yang disampaikan Najib pada perhimpunan raksaksa itu telah menaikkan semangat rakyat tempatan yang hadir pada majlis itu.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, telah menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran bersama Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Usbo, di mana Pandikar adalah timbalan pengerusinya.

"Perdana menteri melawat tempat kelahiran Umno Sabah dan beliau memberi penghargaan kepada penduduk Kota Belud yang mengundi calon Umno pada pilihan raya kecil 1991 yang menyaksikan parti itu bertapak di negeri ini," kata Salleh kepada Bernama, di sini pada Selasa.

Salleh, yang juga timbalan pengerusi perhubungan Umno Sabah, berkata lawatan itu juga akan memberi semangat kepada parti-parti komponen BN untuk berjuang habis-habisan bagi memastikan BN kekal di semua empat kerusi di sana selepas pilihan raya umum akan datang.

Tiga kerusi negeri di kawasan parlimen Kota Belud ialah Usukan, Tempasuk dan Kadamaian. Pada pilihan raya umum lepas, pada 2008, semua kerusi negeri dan kerusi parlimen Kota Belud dimenangi calon BN

Mengenai laporan bahawa pilihan raya umum mungkin diadakan pada November, beliau berkata adalah lebih baik perkara itu diserah kepada kebijaksanaan Najib dan kepimpinan BN tetapi pada masa sama anggota parti perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi pengundi apabila tiba masanya.

Salleh turut bersetuju dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengenai perlunya rakyat mengekalkan BN terus berkuasa, bukan hanya di Sabah, tetapi juga di Putrajaya.

Musa, dalam ucapannya pada persidangan perwakilan Umno bahagian Libaran, Kinabatangan, Sandakan, Batu Sapi dan Beluran yang dirasmikan Najib pada Ahad, berkata rakyat memerlukan pembangunan, kemakmuran, kemanan dan keharmonian.

"Beliau (Najib) telah membantu nelayan, petani dan pesawah. Beliau juga telah membantu rakyat di kampung-kampung dan di bandar, kanak-kanak, orang tua, orang pencen, malah pemandu teksi," kata Musa dalam ucapannya.

Salleh berkata ketika pembangkang terus membohongi pengundi dengan membuat pelbagai janji, Najib sibuk melaksanakan pelbagai projek dan program yang memberi manfaat sebenar kepada rakyat.

Beliau juga berkata bahawa Sabah di bawah kepimpinan Musa turut mendapat faedah hasil inisiatif kerajaan negeri, terutama dalam program-program untuk meningkatkan ekonomi dan taraf kehidupan rakyat.

"Saya bersetuju dengan (Datuk) Musa bahawa Sabah dan rakyatnya akan menderita jika mereka memilih parti dan pemimpin yang salah untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum," katanya.

Mengenai majlis bersama rumah terbuka Aidilfitri itu, Salleh dengan rendah hati memohon maaf atas segala kekurangan memandangkan penganjur tidak menjangka kehadiran yang amat besar.

-- BERNAMA

No comments: