Translate

Tuesday, September 11, 2012

Musa Bakal 'Pecahkan Badi' Pentadbiran Ketua Menteri Sabah Hanya 10 Tahun Sahaja

Datuk Seri Musa Aman
KOTA KINABALU, 11 Sept (Bernama) -- Sabah, yang memperoleh kemerdekaan 49 tahun lepas menerusi pembentukan Persekutuan Malaysia, mempunyai sejarah yang panjang dan penuh warna-warni, khususnya dalam arena politik.

Dalam hampir lima dekad, sekurang-kurangnya 14 ketua menteri telah berjaya memegang jawatan penting itu yang juga menyaksikan kerajaan negeri bertukar tangan beberapa kali dalam suasana penuh dramatik.

Bagaimanapun, semua ketua menteri hanya memegang jawatan itu kurang 10 tahun atau sedekad, kecuali Ketua Menteri sekarang iaitu Datuk Seri Musa Aman yang kini telah memegang jawatan itu hampir sembilan tahun.

Ketua Menteri Sabah yang pertama selepas negeri ini menyertai untuk membentuk Malaysia pada 1963 ialah Datuk Donald Stephens (1963-1964), diikuti Datuk Peter Lo Sui Yin (1965-67), Datu (kemudiannya Tun) Mustapha Datu Harun (1967-1975), Datuk (kemudiannya Tun) Mohd Said Keruak (1975-1976), Tun Mohd Fuad Stephens (1976 - 44 hari), Datuk (kini Tan Sri) Harris Salleh (1976-85), Datuk (kini Tan Sri) Joseph Pairin Kitingan (1985-1994) dan Datuk (kemudiannya Tun) Sakaran Dandai (1994-1995).
Sistem giliran unik yang diperkenalkan oleh perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1995 bertujuan bagi perkongsian kuasa antara tiga kaum utama iaitu Bumiputera bukan Islam, Bumiputera Islam dan Cina menyaksikan Datuk Seri Salleh Said Keruak menjadi Ketua Menteri Sabah dari 1995 hingga 1996 disusuli Datuk Yong Teck Lee (1996-1998), Datuk (kini Tan Sri) Bernard Dompok (1998), Datuk Seri Osu Sukam (1999-2001), Datuk (kini Tan Sri) Chong Kah Kiat (2001-2003) dan Datuk Seri Musa Aman (dari 27 Mac, 2003 hingga sekarang).

Bagaimanapun, sistem giliran itu dimansuhkan pada 2005 berikutan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Sabah pada pilihan raya umum 2004 dan berdasarkan rekod ini, terdapat hanya tiga ketua menteri Sabah, Datu Mustapha, Harris dan Pairin yang hampir berjaya melepasi tempoh 10 tahun itu.

Didorong oleh situasi politik dan ekonomi yang baik di negeri ini ketika ini, banyak pemerhati politik meramalkan Musa bakal menjadi ketua menteri Sabah yang pertama akan memecahkan badi pentadbiran ketua menteri bagi tempoh hanya 10 tahun sahaja.

Penganalisis politik Salman Nurillah berkata hakikat bahawa Musa mentadbir negeri dengan baik adalah "kerana beliau adalah ketua menteri untuk semua.

"Politik sebenarnya ialah mengenai persepsi dan kita tidak dapat mengelak rakyat menyuarakan kekecewaan mereka menerusi persepsi mereka sendiri. Walaupun kita tidak mampu memuaskan hati semua orang, pemimpin dianggap berjaya apabila mereka berupaya membawa pembangunan.

"Sesetengah orang berkata pemimpin cenderung memonopoli semuanya dan tidak membahagikan kekayaan negeri secara saksama. Dalam soal ini, jika sesetengah kawasan kurang membangun, semua ini disebabkan wakil rakyat kawasan itu gagal menjalankan tugas dengan baik. Oleh itu, tidak adil menyalahkan sepenuhnya ketua menteri selaku ketua kerajaan negeri," katanya kepada Bernama.

Salman, bekas pegawai kerajaan lulusan undang-undang dari Universiti Malaya dan lulusan ijazah sarjana dari UiTM, menegaskan "tiada pemimpin politik di Sabah yang sepopular Musa, terutamanya selepas UMNO/BN berkuasa di negeri ini pada 1994".

"Malah sebelum itu, populariti ketua-ketua menteri terdahulu termasuk Tan Sri Harris Salleh semasa zaman Parti Berjaya adalah tidak sebaik yang dinikmati Musa ketika ini," katanya dan menurutnya "Musa telah berjaya memenangi hati golongan miskin dan pribumi dan pengaruh beliau tidak terbatas kepada penyokong UMNO sahaja".

Sejak lima tahun lepas, Musa telah berkomunikasi dengan rakyat menerusi 'bahasa pembangunan', dan ini diterima baik rakyat menerusi ungkapan ringkas beliau "di bawah pentadbiran Musa, anda boleh buat wang dan mempunyai kehidupan selesa tanpa banyak gangguan politik atau komunal".

"Bagi saya, Musa mentadbir negeri dengan bijak dengan membawa pembangunan secara fizikal dan politik. Musa tahu mengenai keperluan rakyat kerana selama sembilan tahun ini, beberapa idea telah dilaksanakan seperti menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri dan mempromosikan Sabah sebagai hab pendidikan (Sandakan)," kata Salman.

"Malahan Perdana Menteri kagum dengan sumbangan beliau khususnya semasa lawatan beliau ke Sandakan baru-baru ini.

"Sedar akan pentingnya pendidikan untuk mengeluarkan modal insan berkemahiran yang mencukupi untuk merangsang pembangunan, Musa mengusahakan pewujudan dua institusi pendidikan yang sudahpun mula beroperasi, Fakulti Pertanian Lestari di Universiti Malaysia Sabah dan Politeknik Sandakan manakala Maktab Rendah Sains Mara dijadual dibuka tidak lama lagi.

Salman berkata daripada segi politik, Musa berada dalam kedudukan kukuh kerana beliau tidak mentadbir negeri dengan memberikan keutamaan kepada kaum tertentu sahaja dan meminggirkan kaum lain.

"Semua ini menunjukkan Musa hampir pasti akan memecahkan badi pentadbiran ketua menteri hanya bagi tempoh 10 tahun sahaja," katanya.

Sementara itu, tokoh korporat Roselan Johar Mohamed berkata mentadbir Sabah sama seperti mentadbir sebuah syarikat yang amat besar.

"Jika semuanya tersusun, dengan itu semuanya berjalan lancar dan negeri makmur. Pada awalnya, Musa telah banyak mengorbankan popularitinya hanya untuk memastikan semuanya dalam keadaan baik termasuk perbelanjaan dan pengurusan kewangan negeri.

"Jadi, apabila Ketua Audit Negara menyatakan bahawa (kewangan) Sabah berada dalam keadaan baik dan di bawah kepimpinan yang baik, populariti Musa kembali menyerlah dan bertambah meningkat.

"Sabah telah berjaya menarik banyak pelawat (asing dan tempatan) dan pelabur dari seluruh dunia.

"Lihat sahaja pada pelancong yang datang dan pelaksanaan pelbagai projek di seluruh negeri. Ini adalah petanda yang jelas bahawa kita berada di bawah kepimpinan yang baik dan tiada sebab untuk meminta perubahan. Kenapa perlu baiki jika ianya tidak pecah?" katanya.

Roselan berkata setiap sektor perniagaan kini berkembang maju dan sektor baharu sedang dibangunkan. Kebelakangan ini, banyak pelawat domestik berkata: "Sekarang susah mahu cari makan di Selangor. Sabah lagi bagus!"

"Kini ia merupakan kenyataan tipikal yang kita dengar daripada ahli perniagaan yang datang dari negeri-negeri lain. Setiap kali kita dengar kononnya pembangkang semakin bertapak di Sabah, itu hanyalah sekadar mimpi atau impian sahaja," kata Roselan.

"Menukar seorang pemimpin yang berwibawa adalah sama seperti mengambil risiko besar. Impak baik yang diharapkan jarang-jarang menjadi kenyataan. Kita patut sentiasa bersyukur dengan semua yang dinikmati dan anggap semua ini adalah rahmat daripada Tuhan," katanya.

Pemimpin veteran Sabah Tan Sri Herman Luping baru-baru ini dipetik sebagai berkata pengurusan kewangan kerajaan negeri dan dasar pengurusan hutan yang dilaksanakan Musa diiktiraf yang terbaik di negara ini.

Beliau berkata Musa, yang menerajui kerajaan negeri sejak sembilan tahun lepas, bukan sahaja memastikan negeri akan terus makmur tetapi juga menjamin kestabilan politik, kesejahteraan dan pembangunan infrastruktur di negeri ini.

"Sabah di bawah pimpinan beliau (Musa) sedang mengalami pembangunan pesat," katanya.

Wartawan veteran Sabah Emin Madi, yang bersetuju dengan pendapat Salman berkata adalah adil untuk berkata bahawa Musa benar-benar komited untuk memenuhi harapan bukan sahaja rakyat malah anggota dan penyokong parti komponen BN negeri.

"Keduanya, beliau merupakan pemimpin yang mengutamakan hasil, yang tidak teragak-agak menggunakan pendekatan segera menyelesaikan masalah. Contoh baik ialah bagaimana beliau mengendalikan Lembaga Industri Getah Sabah yang dilanda masalah.

"Dengan populasi lebih tiga juta dan lapan parti komponen BN yang perlu diuruskan, saya pasti ketua menteri sedar akan cabaran yang dihadapi untuk memberikan yang terbaik untuk rakyat dan negeri ini," katanya.

Pendek kata, pentadbiran Musa yang mengutamakan perpaduan tanpa mengira kaum, warna kulit atau fahaman, mendapat sokongan padu rakyat Sabah.
 
Oleh Newmond Tibin-BERNAMA

No comments: