Translate

Saturday, September 8, 2012

Pemimpin Pembangkang Jangan "Mengajar Itik Berenang" Kepada Sabah - Musa

Datuk Seri Musa Aman
TENOM, 8 Sept (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman membidas pemimpin pembangkang khususnya dari Semenanjung yang cuba berlagak umpama 'mengajar itik berenang' kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri bagi mengurus negeri dengan baik.

Beliau berkata pemimpin pembangkang itu seharusnya menoleh ke belakang melihat pentadbiran di negeri yang diperintah oleh pakatan yang menurutnya diurus secara 'lintang pukang'.

Sebaliknya, Musa yang juga Pengerusi BN negeri, berkata tahap kepesatan pembangunan di Sabah kini jauh lebih baik berbanding di negeri pembangkang terutama Pulau Pinang dan Selangor.

Katanya sebagai perbandingan, jumlah bajet yang diluluskan oleh kerajaan pembangkang di Pulau Pinang tidak sampai RM1 bilion, begitu juga dengan di Selangor jumlah bajet mereka tahun ini hanya sekitar RM1.6 bilion.

"Ini jauh lebih rendah berbanding dengan bajet kerajaan Sabah yang menjangkau lebih RM4 bilion. Selain itu, Sabah juga mempunyai rekod baik dalam mengurus kewangan negeri sehingga mempunyai rizab kewangan yang besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat perwakilan Umno Sabah bahagian Tenom dan Pensiangan, di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, pada Sabtu.

-- BERNAMA

No comments: