Translate

Saturday, September 15, 2012

Pilihan Raya Umum Ke-13 Penentu Survival Orang Melayu

Datuk Seri Najib Tun Razak
PEKAN, 15 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pilihan raya umum ke-13 nanti bukanlah sebarang pilihan raya tetapi penentu kepada survival bangsa Melayu.

Beliau berkata orang Melayu perlu sedar bahawa hanya Umno yang menjadi parti teras dalam Barisan Nasional (BN) yang akan dapat meneruskan perjuangan bangsa dan agama.

Presiden Umno itu berkata oleh yang demikian orang Melayu dan anggota Umno perlu bersatu hati dalam menangani cabaran pada pilihan raya umum akan datang.

Pilihan raya umum ke-13 ini bukan sekadar soal menang atau kalah tetapi soal survival orang Melayu, tanah air kita, katanya ketika berucap pada majlis penutup persidangan perwakilan Umno Bahagian Pekan di sini, hari ini.

"Kalau nak kekalkan teras pemerintahan, pastikan Umno menang, (dan sekiranya) sebaliknya berlaku, buruk padahnya," kata Najib yang juga Ketua Umno Bahagian Pekan.

Najib berkata sekiranya kerajaan sedia ada kini digantikan pasti sesuatu yang buruk akan menimpa bangsa Melayu.

"Barisan Nasional, terasnya Umno. Pembangkang siapa terasnya?, PAS, DAP atau PKR?. PKR lemah, kalau sekiranya mereka bergabung, DAP dapat banyak kerusi, adakah orang Melayu dapat bergantung harap kepada DAP?

"DAP (selama ini) tidak ada rasa senang hati terhadap kedudukan orang Melayu dan orang Islam...hati perut tak sama dengan kita (BN)," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata anggota Umno perlu memperkukuhkan kekuatan dan tidak sesekali berpecah apatah lagi selepas calon parti bagi pilihan raya umum ke-13 diumumkan nanti.

"Yang penting sekali bukan individu tapi parti, perjuangan mesti diteruskan, kalau parti kalah, tirai akan jatuh, kita akan lihat masa depan tidak menentu," katanya.

Beliau berkata dengan izin Allah s.wt, kejayaan pasti dapat dicapai sekalipun berdepan dengan apa juga cabaran.

-- BERNAMA

No comments: