Translate

Sunday, September 9, 2012

Salleh Mahu Umno Rampas Kerusi Sepanggar Daripada SAPP

Datuk Seri Salleh Said Keruak
KOTA KINABALU, 9 Sept (Bernama) -- Timbalan Ketua Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini mencabar Umno Sepanggar supaya berusaha bersungguh-sungguh mengembalikan kerusi Parlimen kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang bagi memastikan kedua-dua kerusi negeri, Karambunai dan Inanam, kekal dengan parti gabungan itu.

"Sebenarnya, lakukan apa saja dalam kerangka undang-undang dan jadikannya sebagai slogan untuk merampas Sepanggar daripada pembangkang," katanya apabila merasmikan persidangan perwakilan bahagian itu di sini.

Sepanggar disandang Parti Maju Sabah (SAPP) yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2008 atas tiket BN. Parti itu keluar daripada gabungan itu selepas itu dan Anggota Parlimennya Datuk Eric Majimbun, kini adalah wakil pembangkang.

Karambunai dan Inanam kekal sebagai kubu kuat BN dengan Datuk Jainab Ahmad dari Umno dan Datuk Johnny Goh dari Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai wakil yang dipilih.

Salleh berkata ia akan menjadi tugas yang mudah untuk merampas Sepanggar jika anggota Umno memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon BN dalam pilihan raya umum akan datang.

-- BERNAMA

No comments: