Translate

Wednesday, September 26, 2012

Taib Tarik Balik Saman Fitnah Terhadap Dua Pemimpin PKR

YAB. Tan Sri Abdul Taib Mahmud
KUCHING, 25 Sept (Bernama) -- Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud menarik balik saman fitnah beliau terhadap dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Mahkamah Tinggi di sini Selasa selepas mereka memohon maaf kerana menyebabkan reputasi beliau tercemar dan diaibkan.

Hakim Datuk David Wong Dak Wah membenarkan permohonan Taib untuk menarik balik saman terhadap Timbalan Pengerusi (Komunikasi) PKR Sarawak Wan Zainal Abidin Wan Senusi dan Naib Presidennya See Chee How, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Lintang, selepas mendengar hujahan pihak plaintif dan defendan.


Saman itu, berkaitan risalah yang diterbitkan pada 11 April, 2007, oleh kedua-dua mereka berhubung artikel dalam akhbar, menyatakan Taib mengawal perdagangan kayu balak di Sarawak dan beliau telah menyalahgunakan kedudukannya dengan secara rasuah untuk memperoleh atau menerima bayaran sebanyak RM32 juta sebagai balasan membenarkan syarikat-syarikat perkapalan menjalankan perniagaan dengan lancar, ditarik balik tanpa kos.

Mereka menerbitkan dan mengedarkan risalah dan artikel itu kepada orang awam termasuk pengunjung, pejalan kaki dan pengguna jalan raya di kompleks beli-belah Electra House di sini, pasar terbuka dan kawasan kejiranan berdekatan.

Dalam permohonan maaf mereka, Wan Zainal Abidin dan See mengakui artikel dan kenyataan yang dibuat mereka adalah tidak benar dan tidak berasas.

Artikel itu diterbitkan dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Mandarin dan disertakan dengan gambar Taib, telah mencemarkan reputasi beliau sebagai seorang individu, ahli politik dan Ketua Menteri Sarawak, di samping mengaibkan beliau.
BERNAMA.

No comments: