Translate

Tuesday, October 23, 2012

Hak Tanah Adat Anak Negeri (NCR) adalah keutamaan dan prioriti kerajaan negeri.-Musa

Musa (kanan) bersalaman dengan salah seorang dari Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Yee Moh Chai sambil diperhatikan oleh dua lagi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman menegaskan Hak Tanah Adat Anak Negeri (NCR) adalah keutamaan dan prioriti kerajaan negeri.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan sentiasa terbuka menerima teguran dan cadangan yang membina untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan bagi mening- katkan tahap pemeliharaan dan perlindungan NCR dan hak pemilikan tanah oleh anak negeri Sabah.

“Isu NCR tidak seharusnya diputar-belit kerana ia menyentuh kepentingan orang asal, sebaliknya setiap pihak harus memberikan sokongan bagi memastikan isu-isu berkaitan NCR dapat diselesaikan dengan baik demi menjaga kepentingan dan hak asasi orang asal negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Kunak Datuk Nilwan Kabang, pada sesi soal jawab, persidangan dewan undangan negeri di Dewan Undangan Negeri, di sini, kelmarin.

Musa berkata, bagi memastikan lebih ramai orang asal mempunyai tanah, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif untuk menukarkan rizab hutan kepada tanah kerajaan.

“Saya secara peribadi akan memastikan prinsip menjaga, memelihara dan melindungi kepentingan hak-hak orang asal, akan sentiasa didahulukan.

“Oleh itu saya berharap, tidak ada lagi pihak yang akan memanipulasikan perkara berkaitan NCR, sebaliknya bekerjasama membantu menyelesaikan apa-apa sahaja perkara berkaitan NCRdemi kepentingan dan hak-hak orang asal negeri Sabah.

“Saya juga berharap isu ini tidak dijadikan bahan politik murahan untuk meraih dan memenuhi kepentingan dan agenda politik golongan tertentu,” katanya.

Musa berkata, jumlah keseluruhan keluasan tanah kerajaan yang telah diperuntukkan kepada anak negeri Sabah melalui lima kaedah sama ada dalam bentuk hak milik tanah Native Title (NT), ekuiti dan pewartaan adalah seluas 890,626.47 hektar atau 45 peratus daripada keluasan tanah kerajaan yang telah diberi milik di negeri Sabah.

“Keluasan ini adalah lebih besar daripada keluasan negeri Selangor yang mana berukuran seluas 795,600.00 hektar sahaja. Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri serius meningkatkan pemilikan tanah oleh anak negeri Sabah,” katanya.

Katantya lagi, walaupun Ordinan Tanah Sabah telah digubal pada 13 Disember 1930, namun tuntutan NCR masih boleh dikemukakan di bawah Seksyen 14 kepada Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) dan pada masa yang sama kerajaan negeri akan terus berusaha meningkatkan pemilikan hartanah oleh Anak Negeri.

“Kerajaan Negeri Sabah telah menjalankan tanggungjawab fiduciary untuk memelihara dan melindungi hak tanah adat dan pemilikan tanah anak negeri. Tohmahan yang mengatakan kerajaan mengetepikan tuntutan Tanah Adat Anak Negeri Sabah dan mendiskriminasikan pemberi milikan tanah kepada Anak Negeri Sabah adalah tidak benar,” katanya.

Berkenaan dengan pemberi milikan tanah melalui proses kelulusan permohonan tanah kepada anak negeri, Musa berkata sehingga Disember 2011, kearjaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur telah mendaftar sebanyak 348,652 hak milik tanah dan daripada jumlah itu, 190,452 adalah hak milik tanah anak negeri (NT) telah diberikan kepada anak negeri.

”Jumlah keseluruhan keluasan tanah yang telah diberi hak milik ialah seluas 1,970,961 hektar dan daripada jumlah itu, seluas 487,680 hektar adalah keluasan bagi hak milik tanah NT. Jumlah ini merupakan 24.7 peratus daripada jumlah keluasan hak milik tanah yang didaftarkan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata bagi meningkatkan jumlah bilangan dan keluasan hak milik tanah NT kepada anak negeri, kerajaan telah mempercepatkan proses kelulusan dan pengukuran permohonan tanah serta penyediaan hak milik tanah.

”Sehingga bulan Ogos 2012, sebanyak 35,350 permohonan tanah telah diproses dan daripada jumlah itu 10,540 permohonan tanah telah disokong untuk diluluskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah (LUC).

”Daripada sebanyak 10,540 permohonan tanah yang telah disokong untuk kelulusan, 9,922 adalah terdiri daripada permohonan tanah syarat NT untuk anak negeri,” katanya.

Dari segi pewartaan tanah simpanan anak negeri, sehingga Disember 2011, keluasan tanah kerajaan yang telah diwartakan untuk kegunaan anak negeri seperti perkampungan dan padang ragut ialah seluas 53,190.857 hektar (131,437.267 ekar).

Dari segi pemberi milikan tanah kepada anak ngeri melalui geran komunal, Musa berkata sehingga Disember 2011, sebanyak tujuh geran komunal NT dengan keluasan 12,777.14 hektar telah dikeluarkan kepada seramai 2,661 peserta yang melibatkan tiga buah daerah.

Sebanyak 52 geran komunal dengan keluasan 23,046.07 hektar akan dikeluarkan kepada seramai 5,373 benefisiari (peserta) yang melibatkan tujuh buah daerah. Jumlah keseluruhan geran komunal yang telah dan akan dikeluarkan ialah sebanyak 58 geran komunal NT dengan keluasan 35,823.21 hektar, melibatkan seramai 8,034 benefisiari (peserta). Geran komunal NT tersebut terletak di sembilan buah daerah melibatkan sebanyak 122 buah kampung.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga merancang untuk mengeluarkan geran komunal di kawasan Kota Marudu seluas 17,000 ekar, Pitas seluas 10,000 ekar, Tongod seluas 15,000 ekar, Semporna (Hutan Simpan Mount Pock dan Tanjung Nagas) seluas 5,177.12 ekar

“Bagi membolehkan beberapa geran komunal dikeluarkan, kerajaan negeri melalui Persidangan Dewan Undangan Negeri pada April 2010 telah membubarkan seluas 24,563 hektar daripada Hutan Simpan Sook Plain dan Mandalom secara land swap dengan tanah kerajaan demi kesejahteraan rakyat di luar bandar khususnya anak negeri Sabah,” katanya.

Musa berkata, penggubalan undang-undang tanah pada 13 Disember 1930 pada zaman pemerintahan British North Borneo Chartered Company telah memberi kesan besar terhadap tuntutanNCR di negeri Sabah.

Beliau berkata, sebelum tahun 1930, pendudukan tanah oleh seseorang anak negeri adalah secara bebas tanpa sekatan undang-undang. Bagaimanapun, sselepas tahun 1930, pendudukan tanah kerajaan oleh seseorang anak negeri adalah tertakluk kepada Seksyen 5, Seksyen 6(1), Seksyen 65 dan Seksyen 88 Ordinan Tanah Sabah di mana pendudukan tersebut perlu ditentu-sahkan secara sah atau tidak sah terlebih dahulu.

“Jika pendudukan didapati sah dan memenuhi kriteria Seksyen 15 Ordinan Tanah Sabah (definasi Hak Tanah Adat), maka pendudukan tersebut akan dipertimbangkan dan diiktiraf sebagai pendudukanNCR dan hak milik tanah boleh dianugerahkan,” katanya.

Katanya lagi, sejak penggubalan undang-undang tanah tersebut, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur telah menggunapakai perundangan tersebut sebagai asas untuk memutuskan sebarang tuntutan hak tanah adat di negeri Sabah.

Sehubungan itu, katanya sejak 1997 hingga September 2012, Jabatan Tanah dan Ukur menerima sebanyak 615 kes tuntutan NCRmelibatkan seramai 1,164 orang penuntut di seluruh Sabah. Daripada jumlah itu 207 kes diiktiraf sebagai pendudukan NCR, 70 kes telah ditolak dan 338 kes masih dalam penyiasatan.

“Kerajaan Negeri berjanji akan mempercepat proses siasatan terhadap 338 kes dengan menggunakan Unit Bergerak Anak Negeri atau PANTAS. Kehadiran PANTAS di kampung-kampung, masalah berkaitan tanah anak negeri di luar bandar akan dapat diselesaikan dengan cepat dan teratur mengikut undang-undang Ordinan Tanah Sabah,” katanya.

No comments: