Translate

Sunday, October 21, 2012

Najib Seru Komponen BN Buat Persediaan Sebelum "Berperang"


DS Najib ketika Perhimpunan Agung MCA ke-59
KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua jentera Barisan Nasional (BN) menentukan mereka sudah mempunyai kesiapsiagaan yang tinggi sebelum menuju ke medan peperangan pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata sebelum menuju ke medan 'perang', seluruh jentera BN perlu membuat persiapan rapi, termasuk mengkaji pelbagai kemungkinan yang akan berlaku bagi memastikan setiap gerakan dilaksanakan tanpa rasa ragu.

"Kita mesti membuat persiapan dan terus bersiap sedia sehingga tiada lagi perasaan sangsi terhadap keputusan perang itu kelak. Saya menganggap persediaan ini amat penting, perancangan amat penting," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA ke-59 di sini, hari ini.

Dalam menegaskan perkara itu, Najib memetik seorang ahli falsafah Islam bahawa pihak yang mempunyai perancangan yang teliti boleh mengalahkan pihak yang kurang buat kurang perancangan walaupun pihak yang kurang membuat perancangan itu adalah di pihak yang benar.

Mengulas perhimpunan MCA tahun ini, Najib mengakui terdapat perbezaan dan tanda-tanda perubahan pada parti terbesar masyarakat Cina itu yang dilihat lebih bersemangat dan bersedia berhadapan dengan pembangkang pada pilihan raya akan datang.

"MCA kali ini ada kelainan... ada keistimewaannya. Saya melihat bahawa ahli-ahli MCA yang hadir dalam dewan ini begitu bersemangat sekali, seperti kata presiden MCA, MCA sedia untuk berperang.

"Barangkali kalau kita sudah bersedia untuk berperang, memakai baju yang sama, adalah cerminan hati yang satu... tetapi mesti juga ada hati dan pemikiran yang sama, " katanya.

Kata Najib agenda penting apabila ke medan perang adalah untuk memastikan kemenangan dan pada pilihan raya umum ke-13 ini, BN mahu mendapatkan kemenangan yang lebih besar.

"Siapa hendak pergi perang, kalah. Siapa yang mahu kalah? Kita mahu menang dan kali ini, kita mahu menang besar, sudahkan anda bersedia? Sentiasa bersedia. Bateri kuat tak?," tanya beliau yang mendapat sorakan padu daripada anggota perwakilan yang hadir.

Seramai 1,698 anggota perwakilan menghadiri persidangan kali ini yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dengan Persidangan Pergerakan Pemuda dan Wanita.

Najib berkata MCA kini dilihat lebih tegas dan tidak takut untuk berhadapan dengan pakatan pembangkang bukan sahaja dalam mempertahankan BN tetapi juga menangkis dakyah liar pembangkang.

"Sebab pembangkang ini banyak pembohongannya. Banyak yang ditipu kita, banyak yang dikelentong kita. Mereka cuba menggambarkan sesuatu yang kononnya indah tapi kalau kita belek dan kalau kita tolak di belakang, kita lihat sebenarnya, rosak dan banyak yang mereka lakukan, bertentangan dengan imej yang mereka cuba tonjolkan kepada umum," katanya.

Pembangkang juga, menurut Najib tidak mempunyai kelayakan yang cukup untuk melaksanakan sistem kerajaan berparlimen walaupun sering mengadu-domba kesediaan untuk mengambil alih pemerintahan kerajaan dan Putrajaya.

"Mereka tidak mematuhi piawaian antarabangsa. Sebab antara pra syaratnya, mereka mesti ada simbol yang sama, dan mereka mesti ada manifesto yang sama. Tapi setakat ini, tiada... 'ilek'...".

"Sekejap-sekejap bulan, kejap-kejap roket, kejap-kejap mata. Mana boleh kita beri keyakinan pada rakyat, bagi tahu pada rakyat parti yang bertanding atas simbol yang berlainan tanpa satu manifesto adalah parti yang tidak ada dasar yang sama, bagaimana untuk mentadbir negara ini," katanya.

Tegas Najib, rakyat tidak boleh mengambil risiko untuk menukar kerajaan kepada kepimpinan yang tidak mempunyai rekod pencapaian yang baik kerana ia seperti memperjudikan masa depan negara.

"Ada orang kata tak apa, kalau mereka tak betul, boleh tukar balik lepas lima tahun. Tetapi jangan cakap lima tahun, dalam setahun pun negara boleh rosak, merudum, hancur, tertiarap (jika tidak ditadbir dengan baik).

"Dalam dunia yang berdasarkan kepada unsur ataupun dimensi globalisasi, ekonomi boleh lumpuh, saham boleh jatuh. Orang Cina, bekerja kuat, membina perniagaan masing-masing, ada banyak syarikat, kalaulah saham jatuh, ingat apa berlaku pada krisis Asia tahun 1997 dulu, apa yang berlaku?".

Mengimbas kembali dilema krisis kewangan, Najib turut mengingatkan peranan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan yang mencadangkan beberapa perkara termasuk membuat pinjaman dengan Tabungan Kewangan Antarabangsa (IMF), menaikkan kadar faedah 24 peratus, melaksanakan belanjawan bajet menguncup.

"Siapa yang selamatkan kita? BN... dengan Tun Dr Mahathir...kita tolak IMF, kita katakan kita mahu menanganinya cara kita. Kalau kita benarkan perkara itu berlaku, hari ini 'taiko-taiko' di dalam dewan ini mungkin sudah pakai selipar jepun sahaja," katanya yang disambut tepukan gemuruh warga MCA.

Sehubungan itu, perdana menteri mengingatkan rakyat supaya mengamalkan sikap berhati-hati dalam memilih kerajaan dengan melihat kepada rekod pencapaian dan pengalamannya dalam mentadbir negara untuk menjamin kelangsungan negara pada masa akan datang.

"Jangan main api. Kita hendak masa depan kita kita corakkan bersama supaya di bawah kepimpinan BN kita boleh mencapai menjadi negara maju menjelang 2020," katanya.

-- BERNAMA

No comments: