Translate

Saturday, October 6, 2012

Pertumbuhan Ekonomi Sabah Terus Kukuh Meskipun Berdepan Pelbagai Cabaran

Datuk Seri Musa Aman.
KOTA KINABALU, 6 Okt (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi Sabah terus kukuh dan mapan meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk kelembapan ekonomi global, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata pelaburan asing dan domestik menunjukkan peningkatan memberangsangkan untuk memacu ekonomi negeri sekali gus menyokong strategi dan program pembangunan holistik.

"Kerajaan negeri komited untuk menguruskan perbelanjaan dan sumber negeri secara berhemah.
"Pengiktirafan yang diberikan oleh Ketua Audit Negara (terhadap kecemerlangan kerajaan negeri mengurus sumber dan dana) menuntut kita untuk terus meningkatkan lagi kecemerlangan bagi memperkukuhkan lagi ekonomi dan kedudukan kewangan negeri Sabah," katanya pada jamuan negeri sempena ulang tahun ke-59 Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Musa berkata bagi memastikan setiap projek pembangunan benar-benar dimanfaat oleh rakyat di peringkat akar umbi, semua jabatan dan agensi pelaksana diminta mempertingkat keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam serta memantapkan lagi kecekapan jentera pentadbiran dan pelaksanaan di semua peringkat.

-- BERNAMA

No comments: