Translate

Monday, October 15, 2012

Peruntukan RM2.98 Bilion Untuk Sabah Tahun Depan: PM


KUDAT, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan akan menyediakan peruntukan RM2.98 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Sabah, tahun depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata peruntukan itu termasuk bagi melaksanakan projek meningkatkan bekalan elektrik sejumlah RM400 juta, projek bekalan air bersih RM150 juta dan RM31.3 juta bagi pembinaan jalan perhubungan desa.

Najib berkata projek Agropolitan Kota Belud-Pitas juga akan dibangunkan dengan peruntukan RM66 juta selain projek perumahan rakyat di Putatan dan Sandakan sebanyak RM65 juta.

"Selain itu, antara projek lain ialah pembinaan Loji Air di Semporna (RM30 juta), Kolej Komuniti Tambunan dan Institut Pendidikan Guru Kampus Tuaran (RM32 juta) dan pelbagai projek kesihatan," katanya di hadapan lebih 50,000 rakyat yang datang dari pelbagai kawasan berhampiran Kudat seperti Pitas, Matunggong, Kota Belud, Tandek dan Pulau Bangi, ketika pelancaran program Jelajah Janji Ditepati di Kompleks Sukan Kudat di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga meluluskan peruntukan RM3.06 juta untuk pembinaan Rumah Kedai di Karakit, Pulau Banggi, projek perumahan rakyat di Jalan Apa, Kudat (RM3.5 juta) dan menambah baik kemudahan di Hospital Kudat.

Najib juga berkata kerajaan akan mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada seramai 408,927 isi rumah bagi seluruh Sabah termasuk 20,399 di Kudat, tidak termasuk golongan bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan kurang RM2,000.

"..tidak kira pilihan raya tahun ini atau tahun depan, janji ini tetap akan ditepati termasuk Klinik 1Malaysia di Kudat dan pembinaan Kudat Maju Shopping Centre," katanya sambil turut mencadangkan pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikekalkan di Kudat.

Katanya, semua projek berkenaan dilaksanakan sebagai usaha berterusan bagi memakmur dan memajukan negeri di Bawah Bayu ini.

Sejurus pelancaran program itu, Perdana Menteri turut diraikan dalam satu jamuan makan tengah hari di kediaman Bapa Kemerdekaan dan Bapa Pembangunan Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun yang juga dinamakan 'Istana Tun Mustapha'.

Turut hadir isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

No comments: