Translate

Thursday, October 11, 2012

PM lawat Sabah 13-14 Oktober ini

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan lawatan rasmi ke Sabah pada 13 dan 14 Oktober ini di tiga daerah iaitu Penampang, Ranau dan Kudat.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, lawatan Perdana Menteri itu bagi merasmikan beberapa program termasuklah perasmian jambatan Inobong dan pecah tanah bangunan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (Ilman) di Inobong, Penampang.

Menurutnya, beliau juga akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin masyarakat di Dewan Kinabalu, Taman Kinabalu Kundasang, Ranau.

"Perdana Menteri juga dijangka membuat pelepasan bendera untuk Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu 2012 Ke-26 dan seterusnya melawat sekitar pekan Kundasang.


"Beliau kemudiannya merasmikan Program Jelajah Janji Ditepati (JJD) di Kudat," katanya kepada media selepas mempengerusikan mensyuarat Kabinet negeri di sini kelmarin.

Selain itu, Musa berkata buat julung kalinya, Program Rimbunan Kasih akan diadakan di Kampung Saga-Saga, Membakut.

Program itu, katanya, adalah satu pelan pembangunan luar bandar secara mampan dengan menyediakan kemudahan asas yang selesa.

Jelasnya, turut disediakan pelbagai aktiviti pertanian bernilai tinggi serta penyediaan pusat komuniti bagi aktiviti penduduk setempat.

"Bagi tujuan pelaksanaan program ini, tanah seluas 30 ekar milik Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) akan dibangunkan.

"Syarikat yang dilantik untuk membangunkan projek ini adalah Iris Corporation Berhad iaitu sebuah syarikat daripada Kuala Lumpur," katanya.

No comments: