Translate

Friday, October 19, 2012

Sabah Peruntuk RM4.088 Bilion Bagi Belanjawan Negeri 2013


Ds Musa Aman, TS Joseph Pairin Kitingan dan DSP Yahya Hussin.
KOTA KINABALU, 19 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan RM4.088 bilion bagi Belanjawan Negeri 2013, yang meningkat RM40 juta berbanding anggaran perbekalan bagi 2012. 

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata anggaran perbekalan 2013 merangkumi tiga komponen utama iaitu Anggaran Emolumen RM663.17 juta (pertambahan RM39.51 juta berbanding RM623.66 juta pada 2012), Perbelanjaan Berulang RM1.120 bilion (pertambahan RM32.92 juta berbanding RM1.O87 bilion) dan Perbelanjaan Khas RM2.337 bilion (pertambahan RM34 juta berbanding RM2.303 bilion). 

"Belanjawan 2013 ini merupakan bukti komitmen kita untuk terus memberikan perkhidmatan dan pembelaan yang terbaik kepada rakyat dan negeri Sabah." 

"Belanjawan negeri ini untuk semua lapisan rakyat dengan mengambil kira keperluan dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri untuk memacu pembangunan negeri ke tahap yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Belanjawan Negeri itu di Dewan Undangan Negeri di sini Jumaat. 

Musa berkata hasil negeri juga meningkat dan dianggarkan berjumlah RM3.828 bilion tahun depan berbanding anggaran asal RM3.69 bilion tahun ini. 

"Dengan mengambil kira bahawa hasil purata negeri Sabah bagi tempoh tiga tahun lalu (2009-2011) yang berjumlah dalam lingkungan RM3.8 bilion setahun, maka kerajaan negeri yakin bahawa sasaran kutipan hasil yang ditetapkan pada tahun depan adalah munasabah." 

-- BERNAMA

No comments: