Translate

Friday, November 30, 2012

FAJAR KEMENANGAN BN MENYINSING DI EMPAT NEGERI DIKUASAI PEMBANGKANG

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Para pemimpin Umno di empat negeri yang dikuasai pembangkang, yakin fajar kemenangan akan menyingsing bagi Barisan Nasional di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Mereka juga yakin benteng pertahanan BN di Perak semakin kukuh menjelang pilihan raya umum ke-13.

Bagi mereka, program transformasi kerajaan pusat dan kelemahan kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang menjadi faktor penting menarik semula sokongan rakyat terhadap Umno dan BN.

Apabila BN kalah di lima negeri pada PRU-12 2008, rakyat sebenarnya telah memberi peluang kepada parti-parti pembangkang untuk membuktikan keupayaan mereka, tetapi mereka tidak menunaikan kebanyakan janji kempen mereka.

Perak kemudian kembali kepada BN apabila empat wakil rakyat pembangkang hilang keyakinan kepada parti mereka dan menjadi calon bebas yang menyokong BN.

Pemimpin Umno di lima negeri itu membayangkan masa depan yang cerah buat BN pada PRU-13.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kegagalan parti pembangkang untuk mentadbir negeri itu menjadi bukti jelas mereka tidak berjaya menggunakan peluang yang diberi untuk berbakti kepada rakyat. 

Di Kedah, katanya, PAS dan sekutunya telah lebih empat tahun berkuasa tetapi tiada apa yang mereka lakukan untuk membangunkan negeri, sebaliknya semakin banyak masalah timbul, yang terakhir berkaitan pembalakan dan isu bekalan air.

"Kini menjelang PRU-13, sudah ada ayat-ayat meminta mereka diberi peluang sekali lagi kerana tempoh lima tahun tidak mencukupi. Adalah tidak wajar mereka diberi peluang lagi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di luar Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini hari ini.

Jelasnya, rakyat telah memberi peluang kepada BN dan parti pembangkang untuk menjadi kerajaan, dan PRU-13 bukan medan untuk uji kaji, tetapi masa untuk rakyat melihat rekod kedua-dua pihak.

Ketika ini, daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, 20 kerusi dikuasai parti pembangkang, BN 14 kerusi dan dua lagi wakil rakyat Bebas.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau yakin BN mampu menguasai kembali negeri itu daripada PAS berdasarkan mood rakyat yang menuntut perubahan dilakukan.

Ini kerana, mereka menyedari PAS gagal mengatasi pelbagai masalah termasuk bekalan air bersih dan isu kemiskinan, walaupun sudah 22 tahun memerintah Kelantan.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata mno Kelantan sedang bekerja bersungguh-sungguh dengan memastikan jentera pilihan raya mantap dan tiada keretakan di Umno Bahagian.

Daripada 45 kerusi DUN Kelantan, BN menguasai tujuh kerusi, manakala pembangkang 38 kerusi.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata BN negeri akan menggunakan tempoh sebulan dua ini untuk menjalankan aktiviti pengurusan mikro iaitu menyalurkan bantuan kerajaan secara kelompok kecil.

"Kami sudah lama bersedia untuk menawan semula Pulau Pinang malah telah menjalankan pelbagai kerja, jentera, dan bilik gerakan telah beroperasi dan kini kami memberi fokus secara mikro," kata Zainal Abidin.

Keseluruhan Pulau Pinang mempunyai 345 peti undi dengan 150 daripadanya adalah kawasan majoriti Melayu. BN Pulau Pinang kini menguasai 11 daripada 40 kerusi DUN.

Menguasai kembali Selangor dengan sekurang-kurangnya memenangi 30 kerusi daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, menjadi keyakinan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Ketika ini BN menguasai 21 kerusi, manakala pembangkang 34 kerusi, dan satu diwakili wakil rakyat Bebas.

"Umno dan BN Selangor mempunyai strategi tersendiri bagi menghadapi pilihan raya umum dan yakin dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap BN," katanya.

Tambahnya, BN Selangor melihat keperluan untuk mengadakan manifesto khusus untuk menarik pengundi Selangor yang kebanyakannya mendiami kawasan bandar.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata BN yakin dapat mempertahan Perak pada pilihan raya umum akan datang, berdasarkan kejayaan strategi yang dilaksanakan sepanjang lebih tiga tahun memerintah negeri itu.

"InsyaAllah, apabila diberi amanah untuk mengepalai negeri ini, tentu kami mempunyai strategi taktikal, peralatan perang dan sebagainya, dan BN yakin dapat mempertahan kedudukannya di Perak," katanya.

BN Perak pada masa ini mempunyai 28 kerusi DUN, pakatan pembangkang 27 manakala wakil Bebas pula empat kerusi.

No comments: