Translate

Wednesday, November 21, 2012

KAJIAN TERPERINCI SEBELUM LULUS JAMBATAN

KOTA KINABALU: Kajian yang lebih teliti perlu dilakukan sebelum meluluskan pembinaan jambatan yang menghubungkan Wilayah Persekutuan Labuan dengan Sabah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pembinaan jambatan itu perlu dilihat dari segi impaknya terhadap sosio ekonomi rakyat Sabah dan Labuan.

"Persoalan yang perlu diteliti adalah adakah pembinaan jambatan itu akan membolehkan Sabah dan Labuan terus membangun secara pesat atau orang labuan akan berhijrah ke Menumbok atau sekitarnya, kesan sebeginilah yang perlu dikaji.
"Kalau esok, akhirnya ia tidak menambah dari segi nilainya, kos pembinaan jambatan itu mungkin tidak dapat memberikan manfaat sepenuhnya," katanya pada sesi soal jawab bersama anggota perkhidmatan Awam Sabah di sini kelmarin.

Beliau berkata, kajian itu sedang dilaksanakan dan dijangka hanya akan disiapkan pada tahun hadapan.

Katanya, selepas memperolehi keputusan itu, ianya akan dibawa semula kepada pengetahuan Perdana Menteri.

"Selepas itu, kerajaan pusat akan meneliti semasak-masak sebelum membuat keputusan sama ada mahu meluluskan pembinaan itu atau sebaliknya," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar atas arahan beliau telah mengambil langkah kajian terperinci sama ada terdapat cadangan tapak pembinaan di lokasi lain untuk pembinaan itu yang lebih ekonomi dan tidak melibatkan kos yang besar berbanding cadangan tapak yang sedia ada yang akan memakan kos sejumlah RM3 bilion.

Beliau juga menyeru kepada semua pihak untuk bersabar mengenai isu itu dan tunggu sehingga kajian selesai serta keputusan selepas itu.

No comments: