Translate

Wednesday, November 21, 2012

KAKITANGAN KERAJAAN PERLU JELAS PERKARA SEBENAR: TPM

KOTA KINABALU: Anggota perkhidmatan awam perlu memahami dan menerangkan isu semasa yang sebenar serta pandangan kerajaan ke atas isu dibangkitkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab kepada masyarakat, terutama menjelang pilihan raya umum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata warga perkhidmatan awam perlu turut memaklumkan kepada rakyat dan pengundi di Sabah bahawa Kerajaan Persekutuan terus menyediakan pelbagai kemudahan dan program membantu serta meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

"Ini terbukti dengan komitmen dalam Bajet 2013, antaranya meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 dan baucer bantuan persekolahan yang ditambah baik.

"Rakyat dan anggota perkhidmatan awam Sabah akan terus menikmati faedah yang lebih besar, melalui program-program kebajikan untuk rakyat apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan padu semua pihak pada pilihan raya akan datang ini," katanya pada sesi perjumpaan bersama anggota perkhidmatan awam Sabah di sini kelmarin.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Aman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman.

Muhyiddin yang dalam rangka lawatan dua hari ke Sabah berkata, sudah pasti semua lapisan masyarakat di Sabah akan menikmati lonjakan manfaat dengan BN menerajui agenda pembangunan masyarakat dan ekonomi negeri, terutama melalui pelaksanaan agenda transformasi ekonomi rakyat dan negara.

Sementara itu, beliau berkata di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pelbagai kemajuan dan program kemakmuran rakyat telah dilaksanakan di seluruh negara khususnya di Sabah.

Menurutnya, penambahan kemudahan asas di Sabah dari tahun 2010 hingga Oktober 2012 adalah jelas dengan terbinanya lebih 995 kilometer jalan luar bandar.

Selain itu, katanya, 46,710 rumah di pedalaman Sabah dibekalkan air bersih, (penambahan 17,420 rumah), 30,158 rumah menerima bekalan elektrik (penambahan 7,716 rumah) dan 9,182 rumah golongan miskin dibina dan dibaikpulih (penambahan 3,924 rumah).

Beliau berkata Kerajaan Pusat akan terus memberi sokongan kepada program transformasi luar bandar khususnya di Sabah dengan penyediaan peruntukan RM255.7 juta tahun ini bagi melaksana lebih 2,000 projek transformasi. 

No comments: