Translate

Wednesday, November 21, 2012

MEKANISME MENGENAI SUMBER ASLI SABAH AKAN DIMAJUKAN UNTUK PERTIMBANGAN

KOTA KINABALU, 21 Nov (Bernama) -- Cadangan untuk mewujudkan mekanisme atau jawatankuasa bagi mencari penyelesaian terbaik mengenai sumber asli seperti minyak dan gas di Sabah akan dimajukan untuk pertimbangan kerajaan pusat.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak mempunyai halangan untuk memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya rasa ini cadangan yang baik. Kita boleh duduk dan berbincang antara kerajaan pusat dan negeri serta pihak berkaitan.
"Kita tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Ini (cadangan) tidak harus kita ketepikan kerana ini adalah kehendak rakyat di Sabah," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-27 di sini hari ini.

Muhyiddin berkata keputusan berkaitan cadangan itu juga perlu bersifat mampan dan sesuai dilaksanakan sekarang dan untuk tempoh yang panjang.

Beliau berkata perkara lain perlu turut diambil kira termasuk jumlah yang telah dibelanjakan untuk membangunkan Sabah daripada sumbangan royalti minyak.

"Saya nyatakan di sini jumlahnya amat besar, lebih daripada apa yang diterima negeri lain," katanya.

Beliau berkata penelitian terhadap hal itu penting terutama ketika pembangkang membangkitkan isu berkaitan minyak dan gas di Sabah sehingga membuat pelbagai janji manis yang belum tentu mampu dikotakan.

Mengenai pengajaran mata pelajaran agama di sekolah, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata tiada halangan untuk agama lain selain Islam diajar di sekolah.

Katanya agama penting bagi membentuk sahsiah yang baik dalam diri pelajar.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga Presiden PBS, meminta agar kerajaan mewujudkan mekanisme bagi membincang dan mencapai satu penyelesaian 'menang-menang' mengenai sumber asli di Sabah demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri yang berkekalan.

Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan kerana bersikap liberal untuk membolehkan mata pelajaran Bible Knowledge dimasukkan dalam kurikulum sekolah.

"Walaupun Islam merupakan agama rasmi negara, Perlembagaan memberi kebebasan bagi rakyat Malaysia untuk memilih dan menganuti agama masing-masing termasuk belajar agama masing-masing," katanya.

No comments: