Translate

Tuesday, November 27, 2012

Najib Saran Pergerakan Global Bagi Budaya Keamanan

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kini adalah masa bagi pergerakan global menyebarluaskan budaya keamanan, dan menegaskan bahawa kini juga masa untuk menyingkirkan pendekatan membalas dendam dalam dunia yang telahpun berubah.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk membawa pergerakan itu ke setiap minda insan bagi memadamkan keburukan akibat sikap tidak bertoleransi dan prasangka di samping kejahilan dan mementingkan diri yang mendesak masyarakat untuk mengulangi kitaran keganasan.

"Menyebarluaskan budaya keamanan, pada pendapat saya, adalah paling penting kepada masyarakat. Jika masyarakat mahu keluar daripada bayangan konflik dan melakukan permulaan yang baharu, anggotanya mesti dipupuk dalam sebuah budaya keamanan," katanya.

Najib berkata demikian ketika merasmikan Forum Antarabangsa Umno kali ketiga bertemakan 'Konflik dan Perdamaian Dalam Politik Rakyat - Menoleh ke Belakang atau Memandang ke Hadapan?' sempena persidangan Agung Umno 2012 di sini.
Mengulas lanjut, beliau menggambarkan budaya keamanan sebagai merangkumkan satu nilai, sikap dan cara hidup berasaskan prinsip kebebasan, keadilan, demokrasi, toleransi, kesepakatan dan saling menghormati terhadap kepelbagaian, dialog dan persefahaman.

"Ia menyasarkan individu. Keamanan sebenarnya tidak ada melainkan minda berada dalam keadaan aman," katanya.

Najib berkata sebagai tambahan kepada organisasi negara dan antarabangsa, tindakan untuk meningkatkan budaya kemanan boleh dilakukan oleh komuniti dan pemimpin-pemimpin agama serta semua lapisan masyarakat seperti ibu bapa, keluarga, guru, artis, profesor, wartawan dan pelajar.

Perdana menteri berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menyumbang kepada usaha ini berdasarkan inisiatifnya dalam Gerakan Kesederhanaan dengan pandangan untuk menjadikan suara kesederhanaan mengatasi ekstremisme dan sikap tidak bertoleransi.

Najib berkata berpandukan nilai kesederhanaan, Malaysia membantu mencari penyelesaian perdamaian kepada konflik yang berlarutan selama 40 tahun di selatan Filipina membabitkan Bangsamoro dan kerajaan Filipina.

Perjanjian perdamaian telah dicapai, katanya, apabila beberapa perkara utama dipersetujui termasuk kedua-dua pihak mesti bersedia untuk berdamai dan terdapat kemahuan bahawa mereka mahu mencari penyelesaian untuk keamanan.

"Selepas itu timbul persoalan bagaimana atau aspek teknikal dan untuk itu ia adalah mencari pihak ketiga dan orang itu mestilah perantara yang benar-benar jujur. Dalam kes selatan Filipina, mereka mendapati ia adalah Malaysia," katanya. Dalam usaha ke arah mencari keamanan, perantara keamanan yang jujur perlu ada, kata Najib, dan menambah: "Dalam kes ini (konflik di selatan Filipina), kita menjadi perantara yang jujur dan kita mendapat kepercayaan kerajaan Filipina dan MILF (Barisan Pembebasan Islam Moro)."

Najib berkata ini boleh digunakan sebagai pencontoh bagi keadaan konflik yang jauh lebih rumit, misalnya di Gaza dan Palestin.

Perdana Menteri berkata pencegahan akan, dalam apa jua ukuran, menjadi jauh lebih murah daripada cuba untuk menyelesaikan konflik dan adalah lebih munasabah.

Beliau menegaskan bahawa pencegahan konflik, atau malah pencegahan di peringkat paling awal dalam sesuatu konflik, mewakili kemungkinan yang paling baik ke arah keamanan.

"Jika pencegahan konflik ingin diberi perhatian serius, maka sistem amaran awal yang akan menunjukkan bila dan di mana konflik itu berkemungkinan berlaku, perlu diwujudkan, diletak dalam keadaan teratur dan diberi perhatian serius," katanya.

Najib berkata pencegahan konflik perlu melangkaui ikhtiar dari segi ketenteraan dan merangkumi aspek politik, ekonomi, sosial dan kemanusiaan yang akan mengurangkan kemungkinan berlakunya konflik.

"Ini menuntut kerjasama yang lebih rapat antara semua agensi terlibat dan pewujudan pendekatan lebih bersepadu terhadap konflik dan penyelesaiannya," katanya.

Hakikat sebenar, beliau berkata matlamat utama dalam tugas menyelesaikan konflik adalah tercapainya perdamaian.

"Untuk bergerak daripada keadaan di mana kita telah mencapai penyelesaian yang aman kepada suatu keadaan baharu apabila hubungan yang retak antara kumpulan, malah antara individu dan negara, boleh dijalin semula, dan apabila penyembuhan boleh mengambil tempatnya -- ini adalah cabaran kepada perdamaian," katanya. Dalam perspektif yang lebih meluas, Najib berkata abad ke-20 telahpun meninggalkan sebuah legasi peperangan dan konflik antara negara, dan abad ke-21 pula bermula dengan cara yang serupa.

"Namun begitu, ini bukanlah masa untuk berputus asa, kerana hasrat ke arah mewujudkan sebuah dunia yang lebih baik dan selamat tidak hilang," katanya, dan menggesa agar usaha terus diperbaharui untuk menghentikan tragedi peperangan serta konflik.

Malaysia, katanya, sentiasa jelas, jujur dan terbuka dalam hasratnya untuk menjadikan dunia ini sebuah tempat yang aman damai.

"Sebagai sebuah negara membangun yang kecil, ini adalah peranan paling sesuai bagi kita semua rakyat Malaysia, iaitu meningkatkan sokongan terhadap penduduk yang terjejas akibat konflik, yang menjadi antara mangsa tragedi pertumpahan darah tidak kira di mana pun di dunia," kata Najib.

Di sekitar rantau ini pula, beliau berkata Asean kini bergerak ke arah menjadi sebuah komuniti negara-negara menjelang 2015, dan ini mungkin boleh mengurangkan samasekali kebarangkalian tercetusnya konflik dalam lingkungan perkumpulan itu.

"Berundinglah tidak kira bagaimana rumit atau tempoh masa yang diambil, itu tidak penting. Apa yang penting ialah keseluruhan rantau ini perlu menjadi sebuah rantau yang aman dan stabil," katanya.

-- BERNAMA

No comments: