Translate

Tuesday, November 20, 2012

Parlimen Malaysia lulus 10 resolusi kutuk Israel

Malaysia mengutuk serangan ketenteraan Israel ke atas Wilayah Palestin di Gaza yang dinamakan operasi "Pillars Of Defence" pada 14 November lalu sebagai tindakan angkuh tanpa belas ihsan yang mencabuli undang-undang kemanusiaan antarabangsa. 

Di Dewan Rakyat pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang mewakili Perdana Menteri membacakan usul bertajuk "Mengecam Serangan Kejam oleh Israel ke atas Wilayah Palestin di Gaza" menyaksikan pembentangan 10 resolusi pendirian Malaysia terhadap tindakan Rejim Zionis itu. 

Resolusi berkenaan ialah: 

1. Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza yang mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin, termasuk golongan wanita, kanak-kanak, bayi dan warga tua dan kemusnahan harta benda dan insfrastruktur serta menggesa pengunduran menyeluruh Israel dari wilayah Palestin di Gaza dan Tebing Barat. 

2. Menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) membuat ketetapan supaya Israel menghentikan dengan serta merta serangan ketenretaannya ke atas Wilayah Palestine di Gaza melalui genjatan senjata dan memutuskan untuk menempatkan pasukan pengaman PBB bagi menguatkuasa gencatan senjata tersebut. 

3. Menggesa Perhimpunan Agung PBB supaya mengadakan sesi tergempar khas perhimpunan agung PBB- "Uniting For Peace- di bawah resolusi 377 A(V) sekiranya Majlis Keselamatan PBB gagal menjalankan tanggungjawabnya. 

4. Menggesa pihak-pihak yang terlibat supaya menyambung semula usaha terhadap proses damai serta melaksanakan dan mematuhi pelbagai resolusi yang telah ditetapkan oleh PBB berhubung isu Palestin dan konflik Arab-Israel. 

5. Memutuskan Malaysia bekerjasama dengan negara anggota-anggota Pertubuhan Kerjasama Islam, Pergerakan Negara-negara Berkecuali, Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mengambil tindakan yang lebih konkrit bagi mendukung prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB dalam menangani konflik yang berlaku di Timur Tengah sekarang. 

6. Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Pelestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat. 

7. Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu padu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat. 

8. Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk wilayah Palestin di Gaza dengan serta merta. 

9. Menggesa Majlis Keselamatan PBB menyiasat dan mengambil tindakan bagi maksud pendakwaan ke atas jenayah perang Israel yang disyaki terlibat dengan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin. 

10. Mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan Perundangan dan Parlimen yang berkenaan, khasnya kepada semua Dewan Perundangan dan Parlimen, khasnya Kongres Amerika Syarikat (AS), Parlimen Britain dan Perlimen Kesatuan Eropah, Setiausaha Agung PBB dan Presiden Majlis Keselamatan PBB.-20/11/2012

-NOOR HASILAH ISMAIL

No comments: