Translate

Saturday, November 10, 2012

PROGRAM PERMATA SENI DICADANG DIPERLUAS KE SABAH

KOTA KINABALU, 10 Nov (Bernama) -- Program Permata Seni yang bertujuan menggilap bakat kanak-kanak berpotensi dalam bidang seni pada awal usia, mungkin diperluas ke Sabah.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Datuk Norliza Rofli berkata program itu dilihat dapat memainkan peranan dalam membantu mengetengahkan khazanah seni budaya tarian di Sabah.

Beliau berkata cadangan itu akan dirujuk kepada isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung Permata Seni dalam masa terdekat.
"Cadangan mewujudkan Permata Seni di negeri-negeri memang sudah ada. "Kita boleh nampak beberapa kanak-kanak Sabah yang bakat mereka sungguh cemerlang dan kita boleh tubuhkan Permata Seni Sabah, Insya-Allah kita akan bawa usul ini kepada Datin Seri (Rosmah)," katanya kepada pemberita selepas festival Program Bimbingan Seni Budaya Negara (PBSBN) di sini semalam. 

Mencakupi pelbagai modul pembelajaran seni tarian dan dipelajari dalam masa enam bulan, PBSBN melibatkan 270 peserta dan dibantu oleh 50 jurulatih tarian. Turut membuat persembahan ialah pelajar Permata Seni Tari (PST) yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur, yang mempertontonkan bakat luar biasa dalam bidang tarian.

Kumpulan itu dianggotai 30 kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia antara lapan dan 12 tahun, dengan empat tenaga pengajar diketuai Mohd Zulfarqar Awaluddin sebagai koreografer.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun dan Pengarah JKKN Sabah Jasmi Rasit.

Mengulas lanjut, Norliza berkata Sabah yang mempunyai lebih 30 kumpulan etnik pastinya mempunyai keunikan yang jarang dilihat dan tarian etnik berpotensi untuk dipromosikan ke seluruh dunia, sekali gus mengangkat nama Malaysia yang sememangnya terkenal dengan rakyat pelbagai bangsa dan agama.

Sementara itu, Masidi berkata sudah sampai masanya bakat kanak-kanak di Sabah digilap secara intensif bagi mengembangkan kepelbagaian budaya seni tari di negeri itu.

"Kita perlu menyuburkan semula penghayatan masyarakat terhadap seni budaya sekali gus mempertahankan nilai-nilai murni. Kepelbagaian budaya di Sabah harus dipertontonkan kepada masyarakat luar," katanya.

Pada majlis itu, kumpulan PST mendapat tepukan paling gemuruh bagi persembahan tarian Zapin Kreasi, tarian Cina dan Bollywood.

Persembahan itu diadakan sempena siri jelajah PST selama empat hari oleh JKKN di Sabah.

No comments: