Translate

Wednesday, November 21, 2012

TINJAUAN MESRA TPM DI KUALA PENYU

KUALA PENYU, 21 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melakukan tinjauan mesra di pekan Kuala Penyu yang terletak kira-kira 114 kilometer dari Kota Kinabalu.

Sebaik tiba pada pukul 9.45 pagi, Timbalan Perdana Menteri yang diringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman terus berjalan ke arah pasar Kuala Penyu dan beramah mesra dengan peniaga dan orang ramai di situ. 

Dua puluh empat peniaga di pasar itu dan penduduk pelbagai lapisan suku kaum yang menunggu seawal 7 pagi begitu teruja melihat pemimpin nombor dua negara itu.

Presiden Suku Kaum Kadayan Wahid Kapal berkata beliau bersama 40 anggota dari suku kaum terbesar di daerah ini iaitu Brunei, Bisaya, Kadayan dan Tatana amat berbesar hati menerima kunjungan pertama kali pemimpin itu di daerah yang terkenal dengan aktiviti pertanian dan perladangan getah serta kelapa sawit.

"Kami amat bangga diberi penghormatan menyambut timbalan perdana menteri ke daerah ini," katanya yang turut bersarapan pagi bersama Muhyiddin di Anjung Tasik Sitompok di sini.

Pemilik gerai Pisang Goreng Sabar Menanti Amir Awang Bhatt , 54, yang telah tujuh tahun berniaga di situ amat berbangga dapat menyediakan pelbagai kuih tradisional termasuk pisang goreng yang menjadi kesukaan penduduk di sini terutama dari kalangan orang kenamaan.

"Selepas dikhabarkan daerah ini akan menerima kunjungan pemimpin negara itu tiga hari lepas, saya berasa sungguh gembira diberi kesempatan menyediakan hidangan isimewa kuih tradisi seperti pulut panggang dan pisang goreng istimewa," katanya.

Pada kunjungan itu, Muhyiddin turut merasmikan pembinaan Kompleks Perikanan Ko-Nelayan bernilai RM7.2 juta yang dijangka siap September tahun depan.

Sementara itu, lebih 8,000 penduduk pelbagai suku kaum dan lapisan masyarakat membanjiri padang pekan itu pada majlis perjumpaan timbalan perdana menteri bersama rakyat.

Turut hadir pemangku Pengerusi Umno Beaufort Isnin Aliasneh, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias Datuk Azizah Mohd Dun dan Adun Kuala Penyu John Teo Mau Sing.

No comments: