Translate

Friday, December 7, 2012

BUKU SEBAGAI KHAZANAH ILMU


BARU-BARU ini, saya diundang melancarkan sebuah buku kumpulan puisi dan lukisan. Tajuknya "Alien mencari cinta". Ia dihasilkan oleh Dr Ramzah Dambul, seorang anak jati Sabah kelahiran daerah Ranau. Dia adalah pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kini menjalankan kajian di King Abdul Aziz University, Arab Saudi. 

Saya tidak mengenali pencipta karya itu secara dekat. Tapi saya menerima undangannya atas dua sebab. Pertama, kerana saya juga seorang pencinta buku. Dan kedua, kerana minat saya juga bercambah terhadap seni lukisan lantaran isteri saya telah menghasilkan sekian banyak lukisan yang kini menghiasi dinding rumah dan pejabat kami di Kota Kinabalu. 

Mengenali Dr Ramzah lebih dekat, dia rupanya merupakan ahli klimotologis (saintis yang mengkaji fenomena alam). Beliau berada di King Abdul Aziz untuk menjalankan kajian bagi melihat unjuran jangka panjang perubahan iklim dengan `climate' model dan menganggarkan impaknya kepada sosioekonomi. 
Dalam ucapan saya, saya berikan pandangan mengenai beberapa hal bersangkutan buku, pembacaan, penulisan dan sentimen masyarakat. 

Saya pernah membaca satu kajian yang dijalankan pada tahun lepas (2011) menunjukkan trend membaca di kalangan rakyat kita meningkat kepada lapan hingga 12 buku setahun berbanding purata hanya dua buku setahun pada 2005. Saya kira angka itu sesuatu yang membanggakan, namun sebenarnya jumlah itu jauh masih kecil berbanding negara sedang membangun lain, apatah lagi di kalangan negara maju. 

Kajian yang dibuat juga mendapati masalah utama sesetengah masyarakat hari ini ialah mereka lebih gemar memilih bahan bacaan yang bersangkut-paut dengan pekerjaan mereka saja dan bergenre ringan. Bagi mereka, membaca luar daripada skop sedemikian adalah "merugikan", "buang masa" dan tidak berfaedah ke arah pembentukan diri. 

Stigma sedemikian akhirnya menyekat horizon pengetahuan mereka yang sepatutnya diisi dengan kepelbagaian ilmu. 

Oleh itu, saya lontarkan saranan bahawa bagi negara kita mencapai status negara maju berpendapatan tinggi, ia perlu seiring dengan peningkatan pemikiran segenap lapisan rakyat. Jika kita mahu membawa negara ke persada dunia, maka masyarakat harus mempunyai pemikiran global, dan untuk mencapai ke status itu, maka kita mesti banyak membaca. 

Justeru, saya tekankan pentingnya peranan penulis kreatif atau juga disebut `orang seni' atau `seniman' dalam usaha membangunkan negara kita. Saya katakan demikian kerana seniman bukan sahaja hanya perakam suara hati nurani bangsa dan zamannya, tetapi lebih daripada itu seniman juga - sama ada penyair, pelukis, novelis, cerpenis, dan sebagainya - adalah juga pentafsir zaman dan bangsa serta masyarakatnya. 

Sejarah membuktikan bangsa Melayu tidak akan mengetahui kecemerlangan masa lalunya, begitu juga masa gelap dan kejatuhannya jika tidak dirakamkan oleh Tun Sri Lanang dalam Sejarah Melayu. Maka dalam alaf baru yang penuh cabaran ini, seniman perlu sama-sama memainkan peranan secara positif dan proaktif. 

Bagi saya, banyak peristiwa yang berlaku pada hari ini memerlukan tafsiran para seniman kita. Segala kuasa yang bergerak dalam masyarakat memerlukan ketajaman minda, hati nurani dan mata fikir seniman mentafsir dan memberi jalan yang harus dipilih oleh masyarakat kita. Di sinilah ketajaman sensitiviti dan kreativiti para seniman kita dituntut dan akan diuji dengan hebatnya. 

Kerajaan sememangnya sentiasa mendokong sebarang usaha untuk menghasil dan menerbitkan bahan-bahan bacaan, termasuklah seni penulisan kreatif. Selain memperkayakan khazanah ilmu, ia juga diharap menjadi pendorong kepada budaya membaca dalam kalangan masyarakat kita. 

Bagi mengiktiraf karyawan dan seniman serta menggalakkan masyarakat kita membaca, Bajet Negara 2013 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah membawa beberapa `khabar gembira.' 

YAB Perdana Menteri menyebutkan secara jelas dalam pembentangannya dengan berkata: "Para karyawan memainkan peranan penting dalam meningkatkan peradaban nasional. Sebagai menghargai peranan mereka ini, kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah RM6 juta sebagai bantuan pentadbiran dan kegiatan kepada semua persatuan yang berdaftar." 

Selanjutnya Perdana Menteri berkata: "Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada setiap pelajar IPT dan pra-universiti. Suka saya mengumumkan, bahawa nilai baucar akan ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250. Langkah ini melibatkan peruntukan RM325 juta dan akan memanfaatkan seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara." 

Apapun, saya harap agar karya Dr Ramzah itu menjadi sebahagian daripada khazanah ilmu untuk ditatapi oleh generasi hari ini dan seterusnya. Kepada Dr Ramzah, syabas dan tahniah saya ucapkan.

No comments: